KUALA LUMPUR: Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) dan syarikat platform penyelesaian perusahaan MACROKIOSK melancarkan Anugerah Muhibbah NPC-MACROKIOSK untuk mengiktiraf individu atau organisasi yang menunjukkan semangat muhibbah terbaik di Malaysia.

Anugerah bertujuan untuk menggalakkan nilai-nilai murni dan persahabatan serta sikap cakna akan satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama dan kewarganegaraan serta menunjukkan rasa prihatin yang mendalam kepada tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan berkata, siri anugerah tersebut diharapkan mampu menjadikan Malaysia serta warganya lebih kuat, lebih berdaya tahan dan lebih bersatu serta menghargai jasa baik individu-individu atau organisasi yang bersemangat muhibbah.

“Maka, kami yakin bahawa inilah masa untuk mengiktiraf dan mengurniakan ganjaran kepada sesiapa sahaja yang menjiwai semangat muhibbah, sama ada individu atau organisasi,” katanya pada majlis pelancaran siri anugerah itu di Rumah Kelab NPC pada Khamis.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MACROKIOSK, Datuk Kenny Goh berkata, anugerah tersebut diharap dapat menggalakkan nilai-nilai murni dan persahabatan serta sikap cakna akan satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama dan kewarganegaraan serta menunjukkan rasa prihatin yang mendalam kepada tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

“Kami juga berharap apabila berita mengenai anugerah ini tersebar, ia akan menginspirasikan lebih ramai orang, sama ada rakyat Malaysia atau warga luar negara yang tinggal di Malaysia, untuk hidup bersama dalam semangat muhibbah," katanya.

Pemenang bulanan (individu/organisasi) berpeluang membawa pulang RM2,000. Pemenang juga akan menerima baucar daripada jenama teh gaya hidup serantau terkemuka Tealive, jenama pasaran gaya-hidup segar terkemuka di Malaysia Jaya Grocer dan jenama yogurt asli terkenal llaollao.

Pencalonan boleh dibuat ke alamat e-mel [email protected] atau melalui pautan WhatsApp iaitu https://chat.whatsapp.com/K739FdIOnqCCti0aOGnFFv atau dengan mengimbas Kod QR yang disediakan.