TANGKAK: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mahu merangka kaedah baharu bagi mengurangkan konflik antara hidupan liar dengan manusia yang kini dilihat semakin kerap berlaku.
Timbalan Menteri berkenaan, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan, selain keadaan itu kini menjadi cabaran besar, terutamanya kepada Perhilitan untuk memastikan haiwan liar tidak berterusan mengganggu dan berkonflik dengan manusia, khususnya gajah.
Beliau berkata, NRES dan Perhilitan terus melakukan pemantauan setiap konflik yang berlaku dan seboleh-bolehnya tidak mahu mengganggu haiwan liar berkenaan termasuklah gajah agar haiwan itu dapat tinggal di habitat asal bersama dengan kumpulan masing-masing.
“Kita sememangnya mahu haiwan liar berkenaan kekal tinggal di habitat asal, cuma kini cabarannya ialah haiwan liar itu perlu berhadapan dengan perubahan apabila adanya pembukaan tanah baharu untuk penempatan, pertanian dan juga pembangunan.
“Sekarang ini, kita di NRES dan Perhilitan bersama-sama beberapa pihak lain kini sedang mengkaji dan merangka satu kaedah penyelesaian baharu agar perkara berkenaan dapat dikurangkan pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama selepas Program Mini MADANI Kita “Kecemerlangan dan Motivasi Pelajar”, di TVETMARA Ledang, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan video tular seekor gajah jantan liar, Sulong Chalil yang berjalan kaki ratusan kilometer dengan kecederaan di kakinya untuk pulang ke habitat asalnya di Gua Musang, Kelantan setelah dipindahkan ke kawasan hutan baharu di Gerik, Perak, bulan lepas.
Syed Ibrahim berkata, tiada sebarang tindakan dilakukan pihaknya selain pemantauan berterusan kerana gajah merupakan satu haiwan yang mempunyai tingkah laku yang unik dan tersendiri yang tidak boleh dipaksa atau berasakan dirinya terkurung.
“Itulah sebabnya kita biarkan dengan pemantauan, namun kita akan pastikan haiwan selamat kembali ke habitat asalnya … dan saya berterima kasih sebenarnya dengan pihak Perhilitan yang bekerja keras kerana membantu Sulong serta haiwan liar yang lain,” katanya.
Sementara itu, Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, program yang berlangsung hari ini dapat memperkukuh pembangunan insan dengan memberikan penekanan kepada kecemerlangan, pembentukan sahsiah, jati diri dan semangat patriotik dalam generasi muda.
“Program hasil kerjasama strategik Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) ini sememangnya bersesuaian dilaksanakan pada Bulan Kebangsaan kerana dapat melahirkan individu yang bertanggungjawab, sekali gus menjaga keharmonian negara,” katanya.
-- BERNAMA