KUALA LUMPUR: Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) berjaya memulangkan sejumlah RM14.3 juta kepada mangsa penipuan dalam talian bagi tempoh 12 Okt 2022 hingga September lepas.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jumlah kerugian yang berjaya disekat pula sebanyak RM100.93 juta, manakala jumlah kerugian yang direkodkan melalui talian NSRC 997 mencecah RM1.2 bilion daripada 468,675 panggilan bagi tempoh 12 Okt 2022 hingga Ogos.
Meskipun jumlah kerugian yang direkodkan masih rendah berbanding jumlah kerugian terkumpul direkodkan di Asia Tenggara, iaitu USD20 bilion, beliau menegaskan tindakan harus dipergiat supaya rakyat Malaysia tidak terjebak dengan jenayah penipuan dalam talian.
“Sekiranya terjebak boleh hubungi talian NSRC 997 dengan segera bagi memudahkan pihak berkuasa menyekat layer daripada sistem perbankan.
“Kemudian semak nombor telefon melalui Semak Mule 2.0 sebelum melakukan sebarang transaksi,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) Peringkat Dasar bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata PDRM terus memperhebat risikan dan operasi bersepadu bagi membanteras sindiket jenayah terancang yang menjadikan Malaysia sebagai pangkalan pusat operasi.
Antara langkah yang diambil adalah mempergiat serbuan bersasar terhadap premis yang dikenal pasti sebagai pusat panggilan penipuan, selain menyasarkan keseluruhan struktur operasi sindiket.
Beliau berkata pendekatan menyeluruh itu bertujuan memutuskan rantaian arahan teknikal, komunikasi serta kewangan sindiket daripada terus bertapak di negara ini.
Bagi tempoh 2023 hingga Ogos 2026, tangkapan ke atas pusat panggilan scam membabitkan 36 dalang utama, 74 pengurus, 165 penyelia, 118 individu bahagian kewangan yang mengurus akaun keldai, 18 petugas komunikasi, 132 juruprogram IT, 8,500 operator dan 157 pekerja am.
Dalam pada itu, penguatkuasaan meluas terhadap jenayah penipuan dalam talian menyaksikan 61,363 operasi dilaksanakan dalam tempoh berkenaan, dengan rekod tangkapan mencerminkan skala ancaman bentuk baharu yang semakin kritikal.
Mengenai sindiket pengedaran dadah, Saifuddin Nasution berkata 80 peratus daripada bekalan dadah masuk ke negara ini adalah daripada luar dan 20 peratus sahaja dari makmal yang dikilang dalam negara.
Dengan keupayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, PDRM berjaya melumpuhkan makmal dadah bernilai RM5 bilion setakat September.
“Namun, itu cuma membekalkan 20 peratus, yang 80 tadi adalah daripada luar kerana sempadan darat laut kita 4,000 kilometer, kawasan maritim kita 600,000 kilometer persegi.
“Sehubungan dengan itu, kerjasama antara negara terus dipergiat kerana jenayah penyeludupan tak kenal sempadan. Itu antara langkah yang kita ambil,” katanya.
-- BERNAMA