Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau pernah menawarkan kontrak kerajaan kepada bekas kakitangan PetroSaudi International (PetroSaudi), Xavier Andre Justo, sebagai bayaran untuk memperoleh data mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penafiannya itu susulan laporan akhbar the New Straits Times (NST) and Berita Harian (BH) hari ini, yang membuat laporan tersebut berdasarkan pengakuan bertulis oleh Justo atas kehendaknya sendiri.

Nurul Izzah berkata laporan itu adalah cubaan terdesak untuk mengalihkan tumpuan daripada isu 1MDB, dan beliau akan mengambil tindakan undang-undang ke atas kedua-dua akhbar terbabit.

“Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah menawarkan US$2 juta kepada Justo dalam bentuk kontrak kerajaan sekiranya Parti Pembangkang memegang kuasa. Saya tidak pernah berjumpa dengan beliau.

“Hari ini NST dan BH telah menjadikan pembohongan ini sebagai tajuk utama, tanpa mengendahkan sejauh mana kebenaran tuduhan-tuduhan tersebut. Saya dengan ini telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap NST dan Berita Harian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut berkata persoalan yang utama bukanlah mengenai dokumen yang dicuri oleh Justo, tetapi mengenai kandungan dokumen tersebut, termasuk laporan-laporan oleh Wall Street Journal, Sarawak Report dan The Edge.

Dalam laporan NST dan BH hari ini, Justo mendakwa editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown ialah orang tengah di dalam urusan di antara Nurul Izzah dan dirinya.

“Sekitar September 2014, Clare menghubungi saya dan mengundang saya ke Bangkok. Dia berkata anak perempuan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim berminat membeli data itu.

“Saya menolak kerana Nurul mahu membayar US$2 juta dalam bentuk kontrak kerajaan apabila mereka berkuasa, bukan dalam bentuk tunai. Saya menolak tawaran itu kerana saya tidak melihat faedahnya,” kata Justo sepertimana dipetik di dalam laporan itu.

Turut dinamakan di dalam laporan itu ialah Ahli Parlimen Petaling Utara, Tony Pua yang didakwa telah mengatur penjualan data itu kepada pemilik The Edge Media Group (The Edge), Datuk Tong Kooi Ong bersama Rewcastle-Brown.

Pua hari ini juga mengulangi bahawa beliau tidak mengenali individu bernama "Xavier Andre Justo", sehinggalah penangkapan warga Switzerland tersebut di Thailand menjadi berita utama.

Justo kini sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun di Thailand atas sabitan kesalahan mengugut bekas majikannya.

Pua juga berkata beliau hanya menerima dokumen 1MDB yang bocor dari laman web Sarawak Report.

Tambahnya, beliau tiada niat jahat dalam menghubungi Rewcastle-Brown, kerana ia adalah tugasnya sebagai seorang ahli parlimen untuk mencari kebenaran di sebalik artikelnya.

“Sejak beberapa tahun yang lalu, saya telah berkongsi banyak maklumat kenalan dengan Clare dan membincangkan pelbagai subjek berkaitan politik di Malaysia. Antara maklumat kenalan yang dikongsi termasuk Datuk Tong Kooi Ong dari The Edge Media Publications.

"Bagaimanapun, jika perkongsian maklumat kenalan dengan wartawan dan media bermakna mengambil bahagian dalam 'konspirasi', saya mesti telah berkomplot dengan setiap organisasi media di Malaysia yang telah meminta maklumat kenalan dari saya,” katanya.