Skip to main content

Malaysia

NUTP peruntuk RM1.5 juta setahun bantu guaman guru

KOTA BHARU, 3 Sept - Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim (tiga kiri) merasmikan majlis Makan Malam sempena Perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan NUTP Kali ke-24 di Kota Bharu malam ini. Turut hadir, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang (tengah). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim (tiga dari kiri) merasmikan majlis Makan Malam sempena Perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan NUTP Kali ke-24 di Kota Bharu malam tadi. Turut hadir, Presiden NUTP, Aminuddin Awang (tengah). - Gambar Bernama
Advertisement

KOTA BHARU: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memperuntukkan RM1.5 juta setahun bagi menanggung kos guaman ahlinya yang berdepan tindakan undang-undang berkaitan tugas sebagai guru.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, bantuan itu meliputi kes saman sivil dan pendakwaan jenayah, dengan kos guaman bagi sesetengah kes boleh mencecah RM80,000.

Beliau berkata, saman sivil kini semakin banyak difailkan terus terhadap guru berbanding kerajaan atau jabatan pendidikan.

“Kadang-kadang ada ibu bapa mahupun masyarakat membuat saman sivil terhadap guru atas pelbagai alasan, termasuk perkara yang sebenarnya boleh diselesaikan tanpa perlu dibawa ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Tritahunan NUTP ke-24, di sini, malam tadi. 

Aminuddin berkata, NUTP turut membantu ahli yang berdepan pendakwaan jenayah sekiranya terdapat unsur penganiayaan terhadap guru berkenaan.

Beliau berkata, sehingga Ogos lepas, 16 kes telah mendapat bantuan guaman NUTP termasuk tiga kes yang sedang dibicarakan di Kelantan.

“Antara kes yang sering dihadapi guru ialah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ringan kepada seseorang. Walaupun ia bersifat dakwaan kes jenayah, kita tetap akan memberikan pembelaan kepada ahli kita,” katanya.

Beliau berkata, NUTP mempunyai panel tetap firma guaman bagi mengendalikan kes ahlinya dan menggalakkan guru yang belum menjadi ahli supaya menyertai kesatuan bagi mendapatkan kemudahan berkenaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement