Nyalaan lilin di ibu kota tanda sokongan kepada Venezuela, bantah tindakan AS

Sebahagian daripada peserta himpunan yang menyatakan sokongan kepada Venezuela dan membantah tindakan Amerika Syarikat, membawa kain rentang di hadapan Kedutaan Venezuela di ibu negara. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Puluhan warga kota berhimpun menyalakan lilin menyatakan sokongan kepada Venezuela dan membantah tindakan Amerika Syarikat.
Peserta himpunan berkumpul sejak jam 7 petang di hadapan Kedutaan Venezuela di Menara Tan & Tan mengkritik pentadbiran Presiden AS Donald Trump menculik Presiden Venezuela Nicolas Madura semalam.
Slogan seperti “Jatuhkan Imperialisme”, “Hidup Venezuela”, “Hancur Amerika” dan “From the river to the sea the world will be free” dilaungkan oleh peserta himpunan.
Sementara itu beberapa peserta turut memegang kain rentang tertera “Hands Off Venezuela”, “Dump Trump” dan “Selamatkan Venezuela”.

Turut kelihatan pasukan PDRM turut berkawal menjaga keselamatan demi memastikan himpunan berjalan lancar.
Beberapa wakil dari kedutaan Amerika Latin turut hadir seperti Konsulat Kedutaan Venezuela di Malaysia Oswaldo Gonazales, dan Duta Cuba ke Malaysia Yadira Ledesma.
Pada jam 8 peserta mula berarak menuju ke hadapan kedutaan Amerika Syarikat untuk meneruskan aksi bantahan mereka.

Semalam media melaporkan tentera AS mengebom beberapa kawasan di ibu kota Venezuela, Caracas dan menangkap Maduro bersama isterinya Cilia Flores sebelum diterbangkan ke New York pagi Sabtu waktu tempatan.
Peguam Negara AS, Pam Bondi menyatakan, Maduro dan Isterinya bakal didakwa empat pertuduhan iaitu konspirasi keganasan narko, konspirasi import dadah jenis kokain, melakukan konspirasi dan memiliki mesingan dan alat pemusnah.
Namun, Trump hari ini turut menyatakan akan memberi hak kepada syarikat minyak AS untuk membina infrastruktur dan mengekstrak aset minyak di Venezuela.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


