Skip to main content

Malaysia

NYLTC 2.0 perkasa barisan pemimpin muda Pengakap seluruh negara

Pengakap Malaysia, NYLTC 2.0
Penganjuran National Youth Leadership Training Course (NYLTC) 2.0 yang berlangsung di Rumah BP, Kuala Lumpur dari 6 hingga 9 Ogos lalu. - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menerusi Sekretariat Pengakap Kelana Kebangsaan terus memperkukuh agenda pembangunan kepimpinan belia menerusi penganjuran National Youth Leadership Training Course (NYLTC) 2.0 yang berlangsung di Rumah BP, Kuala Lumpur dari 6 hingga 9 Ogos lalu.

Program selama empat hari itu menghimpunkan pemimpin muda Pengakap dari seluruh negara bagi mengikuti latihan kepimpinan yang dirangka untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam memimpin organisasi, komuniti dan program pembangunan belia.

Menurut PPM, kursus berkenaan memberi penekanan kepada aspek kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan, pembangunan projek, kesukarelawanan serta penglibatan belia yang lebih bermakna dan berimpak.

Peserta turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman, tugasan kolaboratif dan sesi perkongsian yang bertujuan membina keyakinan diri, sikap proaktif serta akauntabiliti dalam kalangan pemimpin muda.

Pada masa sama, NYLTC 2.0 menjadi platform kepada peserta untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan membina jaringan kerjasama merentasi negeri serta komuniti masing-masing.

PPM berkata, program itu selaras dengan peranan Pengakap sebagai gerakan pendidikan bukan formal yang berusaha melahirkan golongan muda berkemahiran, berintegriti dan mempunyai rasa tanggungjawab tinggi terhadap masyarakat.

Katanya, kursus berkenaan juga menyokong usaha melahirkan pemimpin belia yang bersedia memikul tanggungjawab serta menyumbang secara aktif di peringkat tempatan, negeri dan kebangsaan.

Kejayaan penganjuran NYLTC 2.0 mencerminkan komitmen berterusan PPM dalam memperkasa pembangunan kepimpinan belia serta menyediakan ruang yang lebih luas kepada golongan muda untuk terlibat dalam proses membuat keputusan, pembangunan program dan aktiviti kemasyarakatan.

PPM turut merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM), barisan kepimpinan Pengakap, fasilitator, penceramah, penilai dan rakan kerjasama yang menjayakan program berkenaan.

Ilmu, pengalaman dan jaringan yang dibina sepanjang kursus itu diharap dapat membantu peserta meneruskan perjalanan kepimpinan mereka sekali gus menyumbang kepada pembangunan Pergerakan Pengakap dan komuniti masing-masing.

Must Watch Video

Advertisement