Skip to main content

Malaysia

OBI formula baharu Sabah bina ekosistem pentadbiran kalis rasuah - Hajiji

Hajiji ketika menyempurnakan perasmian majlis KITA 2026 bertemakan"Integriti Memacu Tatakelola Sabah Maju Jaya" di SICC hari ini. Turut sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Zainuddin Aman. - Gambar Bernama
Hajiji ketika menyempurnakan perasmian majlis KITA 2026 bertemakan"Integriti Memacu Tatakelola Sabah Maju Jaya" di SICC hari ini. Turut sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Zainuddin Aman. - Gambar Bernama

Advertisement

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memperkenalkan dan mendukung paradigma baharu menerusi Aspirasi Outcome-Based Integrity (OBI) atau Integriti Berasaskan Keberhasilan sebagai formula membina ekosistem pentadbiran yang berdaya tahan dan kalis rasuah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata OBI memberikan tumpuan kepada tiga teras utama, iaitu pengurangan ketara risiko ketirisan dan penyelewengan fundamental; kecekapan dan ketelusan penyampaian perkhidmatan awam; serta peningkatan ketara tahap kepercayaan rakyat dan pelabur.

Beliau berkata menerusi OBI, setiap instrumen Governans, Integriti dan Antirasuah wajib membawa keberhasilan nyata kerana integriti bukan sekadar perhiasan kata, sebaliknya tiang utama yang mendasari kejayaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Pengukur keberhasilan OBI akan dijadikan sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan bagi semua ketua jabatan dan kepimpinan syarikat kerajaan negeri, manakala prestasi pentadbiran diukur mengikut tahap pengurangan risiko ketirisan dan kecekapan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2026 yang bertemakan “Integriti Memacu Tatakelola Sabah Maju Jaya” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Hajiji berkata setiap ringgit dana awam yang dibelanjakan mesti memberikan nilai wang yang maksimum terus kepada kesejahteraan rakyat tanpa susut nilai di tengah jalan.

“Tadbir urus tidak lagi bersifat reaktif, sebaliknya berasaskan formula 3P iaitu Proactive, Predictive dan Preventive dengan mencegah sebelum berlaku berdasarkan penilaian risiko nyata,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga komited melaksanakan tiga teras strategik termasuk memperkasakan pendigitalan, analisis data dan wawasan tingkah laku selain menginstitusikan OBI dalam penilaian prestasi agensi.

Ketua Menteri berkata kerajaan negeri akan memperluas pemerkasaan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dan memperkukuh fungsi Unit Integriti bagi membina ekosistem kepimpinan berintegriti generasi baharu.

Beliau berkata integriti ialah enjin penggerak, memastikan setiap dana awam dan setiap dasar kerajaan memberikan nilai pulangan optimum serta impak nyata kepada rakyat tanpa sebarang ketirisan mahupun penyelewengan,” katanya.

Hajiji berkata lebih 2,500 peserta dari seluruh negeri menghadiri KITA 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, mencerminkan kesatuan tekad kolektif dalam memperkukuh pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA).

Beliau berkata antara pencapaian KITA yang diperkenalkan sejak 2023 ialah penempatan 10 CeIO sebagai Ketua Unit Integriti di setiap kementerian, pembangunan aplikasi mudah alih i-Adu, sistem i-DIMSS dan i-STANS, selain 17 pegawai agensi kerajaan negeri Sabah yang lulus Certification in Professional Integrity Assurance and Management (CPIAM) oleh Universiti Sains Malaysia.

"Pada peringkat nasional, Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri turut menerima pengiktirafan UNGGUL dalam pensijilan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) oleh Institut Integriti Malaysia (IIM)," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement