PETALING JAYA: Belanjawan 2027 diharap dapat memberi perhatian kepada aspek aksesibiliti bagi golongan orang kurang upaya (OKU) termasuk di kawasan luar bandar selain penambahbaikan Akta OKU 2008 [Akta 685].
Presiden OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi berkata, persatuan itu turut berharap kerajaan mempertimbangkan pengukuhan Akta Warga Emas sebagai persediaan Malaysia ke arah negara menua menjelang 2030.
“Semalam, kami ada bersama dengan Bahagian Belanjawan di Kementerian Kewangan bersama-sama Perdana Menteri dan antara perkara yang kami sarankan ialah aksesibiliti bukan sahaja di dalam bandar tetapi juga di luar bandar... itu amatlah penting.
“Keduanya, Akta OKU mesti lekas diperbaiki dan seterusnya, Akta Warga Emas itu kita mesti padatkan supaya kita bersedia untuk memastikan warga emas akan dijaga juga,” katanya kepada pemberita selepas sesi tinjauan media bersama dengan OKU Sentral di Stesen LRT Damansara Idaman, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik kemudahan mesra OKU yang disediakan di sepanjang LRT Laluan Shah Alam termasuk ruang khas pengguna kerusi roda, tali pinggang keselamatan yang boleh dilaraskan serta laluan taktil (jubin pandu arah) bagi membantu pengguna OKU penglihatan.
Ras Adiba berkata, OKU Sentral turut mengalu-alukan langkah Prasarana untuk menyediakan kemudahan lif di bahagian belakang van Rapid On-Demand bagi memudahkan pengguna kerusi roda yang tidak boleh berpindah dari kerusi roda ke tempat duduk.
“Kalau orang yang tetraplegic atau cerebral palsy memang susah kadang-kadang kita nak angkat, nak pindahkan... jadi, Alhamdulillah kami diberitahu Prasarana menyediakan di beberapa bulan yang akan datang ini van yang mempunyai lifting lift yang buka dari belakang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Jaminan Kualiti Laluan Shah Alam, Noor Aqilah Ahmad Tajedi berkata, Prasarana menerima maklum balas secara langsung daripada komuniti OKU berhubung kemudahan yang disediakan bagi tujuan penambahbaikan.
“Kami juga sangat mengalu-alukan pengguna golongan OKU untuk menggunakan fasiliti kami kerana banyak kemudahan yang kita sediakan untuk golongan OKU,” katanya.
Noor Aqilah berkata, pengguna OKU boleh mendapatkan Pas Rapid Mesra terbaharu dengan memohonnya secara dalam talian atau di kaunter konsesi di stesen bagi menikmati perjalanan percuma.
Beliau turut menggalakkan pemegang kad lama yang belum tamat tempoh menukarnya dengan kad baharu berkenaan.
Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer menghubungkan Johan Setia, Klang dengan Bandar Utama, Petaling Jaya dan mula dibuka kepada orang ramai pada 29 Jun lepas.
-- BERNAMA