Polis menahan satu pasangan asing yang berduaan di dalam kereta di tepi Jalan SS9A/12, Petaling Jaya kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, pihaknya melakukan rondaan di kawasan tersebut pada 12.30 tengah malam.

"Polis telah menahan pasangan itu yang merupakan seorang lelaki warga Pakistan dan seorang perempuan warga Indonesia masing-masing berumur 23 tahun," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.


Pasangan asing tersebut termasuk antara 32 individu yang ditahan dalam tempoh 24 jam melalui Op COVID-19 bermula 27 hingga 28 Mac di sekitar Petaling Jaya, Selangor.

Mereka yang ditahan termasuk 16 warga tempatan, Indonesia (7), India (3), Vietnam (2), China (2) dan Nigeria serta Pakistan masing-masing satu (termasuk pasangan asing).

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata kesemua mereka berumur antara 14 hingga 65 tahun.

"Ada diantara mereka yang bertindak agresif dan melakukan provokasi ketika diperiksa pihak polis semasa OP COVID-19.

"Kesemua mereka disiasat di bawah Peraturan-peraturan Pencegah dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya," jelas beliau.

Justeru itu, polis menggesa orang ramai agar patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan dan tidak memandang remeh perkara ini.

"Duduk rumah dan keluar sekiranya ada keperluan mendesak, polis juga berharap pematuhan terhadap arahan PKP ini meningkat kepada 90 peratus," tambahnya.