Skip to main content

Malaysia

Op Crack: Imigresen batal semua PLKS diluluskan secara tidak teratur

Sumber: Astro AWANI
Zakaria (tiga, kiri) bersama Abd Halim (empat, kiri) pada sidang media di sini, pada Jumaat. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen akan membatalkan semua Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikenal pasti diluluskan secara tidak teratur, selain mengesan keberadaan pemegang pas berkenaan bagi tindakan lanjut.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata langkah itu adalah tindakan susulan awal hasil penemuan berkaitan kelulusan PLKS yang tidak mematuhi prosedur, sebagaimana didedahkan menerusi Op Crack yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Langkah pertama yang kita ambil ialah membatalkan semua PLKS yang diluluskan secara tidak teratur dan seterusnya mengesan keberadaan mereka.

"Buat masa ini, saya hanya boleh katakan mereka berada di beberapa lokasi. Kita tidak boleh mendedahkan butiran lanjut kerana jika didedahkan sekarang, mereka mungkin akan melarikan diri," katanya pada sidang media bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, di sini pada Jumaat.

Seramai 12 individu, termasuk enam pegawai Imigresen dan seorang pegawai polis, ditahan SPRM kerana disyaki terbabit dalam sindiket menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi meluluskan permohonan PLKS secara tidak sah.

Sindiket itu dipercayai memanipulasi sistem dengan menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi sebelum mengeluarkan 1,306 PLKS palsu, sekali gus menyebabkan kerugian kepada kerajaan yang dianggarkan berjumlah RM2.4 juta.

Abd Halim dilaporkan berkata, kesemua suspek ditahan dalam operasi bersepadu dikenali sebagai Op Crack yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen.

Menurut beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai Imigresen, dua pegawai dari Bahagian Teknologi Maklumat Jabatan Imigresen serta seorang pegawai polis.

Must Watch Video

Advertisement