MALAYSIA
Op Jack Sparrow: PDRM tumpaskan kumpulan jenayah terancang, 17 ditahan

Khalid menegaskan bahawa kejayaan ini merupakan langkah besar dalam membanteras jenayah yang mengancam ketenteraman awam. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sebuah kumpulan jenayah terancang yang aktif melakukan jenayah kekerasan di empat negeri menerusi operasi khas dikenali sebagai Op Jack Sparrow pada 11 September lalu.
Ringkasan AI
- Kumpulan Jenayah Ditumpaskan: PDRM berjaya menahan 17 suspek dari dua kumpulan jenayah kekerasan aktif di empat negeri.
- Siasatan Di Bawah SOSMA & AMLA: Suspek disiasat atas kesalahan jenayah terancang, memiliki 80 rekod lampau dan 34 berkaitan dadah.
- Komitmen PDRM Perangi Jenayah: Operasi disifatkan sebagai kejayaan besar; PDRM seru orang ramai bantu salur maklumat dan elak terjebak.
Dalam operasi tersebut, seramai 17 suspek berusia antara 19 hingga 44 tahun telah ditahan.
Tangkapan melibatkan dua kumpulan berbeza yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan kegiatan jenayah berat seperti pembunuhan, serangan bersenjata, rompakan berkumpulan dan perbuatan khianat menggunakan api.
Kumpulan ini dipercayai mula aktif sejak tahun 2023 dan dianggotai kira-kira 33 individu, diketuai oleh seorang lelaki tempatan.
Motif utama kegiatan mereka adalah pengaruh kuasa dan keuntungan material.
Kesemua suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membantu siasatan lanjut.
Hasil siasatan mendapati mereka mempunyai 80 rekod jenayah lampau dan 34 rekod berkaitan dadah.
Beberapa lagi suspek yang dipercayai masih bebas sedang diburu.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan.
PDRM turut menjalankan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bagi meneliti aspek pembiayaan dan saluran kewangan kumpulan tersebut.
Khalid menegaskan bahawa kejayaan ini merupakan langkah besar dalam membanteras jenayah yang mengancam ketenteraman awam, dan memberi jaminan bahawa PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana kumpulan jenayah terancang.
“PDRM menyeru masyarakat agar menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau keberadaan baki ahli kumpulan yang masih bebas. Elakkan diri daripada terjebak dalam aktiviti jenayah, dadah atau keganasan,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami