Skip to main content

Malaysia

Op Lens: DBKL ambil 28 tindakan sita, 23 kompaun terhadap 'ulat foto'

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) terus melaksanakan "Op Lens" Siri 6/2026 di kawasan tumpuan awam sekitar di Pintasan Saloma dan persiaran KLCC pada Ahad, 19 April 2026.
Secara keseluruhan, DBKL memaklumkan sebanyak 28 sitaan peralatan telah dilakukan. - Foto Facebook/Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil 28 tindakan sita dan mengeluarkan 23 notis kompaun terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran di sekitar kawasan tumpuan awam ibu negara, Ahad lalu.

Operasi bersepadu dikenali sebagai “Op Lens” Siri 6/2026 itu dilaksanakan di kawasan Pintasan Saloma dan persiaran KLCC dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN).

Advertisement

Menurut DBKL, dalam operasi siri terbaharu itu, empat notis kompaun dikeluarkan terhadap individu yang didapati menjalankan perkhidmatan tanpa kebenaran, selain tiga sitaan melibatkan pelbagai peralatan termasuk telefon bimbit.

"Secara keseluruhan, DBKL memaklumkan sebanyak 28 sitaan peralatan telah dilakukan, termasuk tujuh kes melibatkan bukan warganegara, serta empat notis mahkamah diserahkan kepada individu terbabit kerana gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan.

"Tindakan penguatkuasaan tersebut dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Dalam pada itu, JIM dan JPN telah memeriksa seramai 31 individu melibatkan semakan dokumen pengenalan diri.

Daripada jumlah itu, empat individu diberikan surat akuan penahanan dokumen oleh JPN bagi tujuan siasatan lanjut berhubung kesahihan dokumen serta status kerakyatan mereka.

DBKL menegaskan akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan tumpuan awam kekal selamat serta bebas daripada aktiviti fotografi tanpa kebenaran yang boleh menimbulkan risiko keselamatan, gangguan kepada pengunjung dan menjejaskan kelancaran lalu lintas.

"Semua peralatan yang disita telah dipindahkan ke stor sitaan DBKL untuk tujuan rekod dan dokumentasi lanjut. Orang awam boleh menyalurkan aduan atau maklum balas melalui saluran rasmi DBKL," ujarnya.

Must Watch Video