Op Naga catat 627 tangkapan, hasil lelongan RM146 juta

Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata nilai keseluruhan lucut hak, denda dan hasil lelongan pula merekodkan RM146 juta, dengan hasil itu akan diserahkan kepada kerajaan sebagai pulangan pelaburan. - Gambar fail/BERNAMA
KUANTAN: Operasi Bersepadu Naga (Op Naga) mencatat sebanyak 627 tangkapan vesel nelayan asing (VNA) sejak dilancarkan pada Mei 2019 hingga Ogos tahun ini.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata nilai keseluruhan lucut hak, denda dan hasil lelongan pula merekodkan RM146 juta, dengan hasil itu akan diserahkan kepada kerajaan sebagai pulangan pelaburan.
"Kejayaan ini disifatkan sebagai bukti keberkesanan pelaksanaan operasi bersepadu yang menyaksikan penglibatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pelbagai agensi dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara dan melindungi sumber ekonomi laut yang tidak ternilai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pencerobohan VNA khususnya di perairan Laut China Selatan adalah isu yang serius dan mengancam kedaulatan serta keselamatan negara, selain ia turut menjejaskan sumber ekonomi rakyat yang bergantung kepada hasil laut."Laut tidak mempunyai tembok sempadan yang memisahkan antara satu negara dengan yang lain sebagaimana di daratan. Oleh sebab itu, pencerobohan pasti akan berlaku, namun dengan kesepakatan dan kesiapsiagaan tinggi semua, kita dapat memastikan perairan negara terus selamat dan terkawal," katanya.
Mohd Zawawi berkata pihaknya berpuas hati dengan pelaksanaan latihan Table Top Exercise (TTX) yang pertama kali dilaksanakan bersama semua jabatan dan agensi, melibatkan pasukan operasi dan sokongan dalam mengukuhkan pengoperasian Op Naga.
"Pelaksanaan TTX dalam Op Naga adalah bagi mengenal pasti kekangan dan permasalahan yang boleh berlaku dalam situasi sebenar di lapangan. Seterusnya dapat memastikan kesiapsiagaan serta keberkesanan operasi serta langkah-langkah pencegahan dan penambahbaikan prosedur yang diguna pakai," katanya.
Op Naga melibatkan 17 agensi terdiri daripada pasukan operasi iaitu APMM, Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Udara dari PDRM, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Pasukan sokongan pula terdiri daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Turut terlibat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Jabatan Perikanan Sabah, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan Taman-Taman Sabah (TTS).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami