Skip to main content

Dunia

Tiga pesakit disyaki dijangkiti Hantavirus dipindahkan daripada kapal persiaran - WHO

Hantavirus-hit cruise ship evacuates 3 passengers, expected to head next to Spain
Tiga pesakit yang disyaki dijangkiti hantavirus dipindahkan dari kapal persiaran yang dilanda wabak itu dan sedang dibawa ke Belanda untuk rawatan perubatan. - Foto REUTERS

GENEVA: Tiga pesakit yang disyaki dijangkiti hantavirus dipindahkan dari kapal persiaran yang dilanda wabak itu dan sedang dibawa ke Belanda untuk rawatan perubatan, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Rabu, lapor Xinhua.

“Dengan penyelarasan WHO, pengendali kapal serta pihak berkuasa negara dari Cabo Verde, United Kingdom, Sepanyol dan Belanda, tiga pesakit yang disyaki dijangkiti hantavirus baru sahaja dipindahkan dari kapal dan kini dalam perjalanan untuk menerima rawatan perubatan di Belanda,” kata Tedros dalam hantaran di platform media sosial X.

WHO terus bekerjasama dengan pengendali kapal bagi memantau dengan rapi kesihatan penumpang dan anak kapal, sambil menyelaras dengan negara terlibat untuk menyokong perubatan susulan dan pemindahan sekiranya perlu, katanya.

Langkah pemantauan dan susulan turut dimulakan ke atas penumpang yang masih berada di dalam kapal serta mereka yang turun, dengan kerjasama pengendali kapal dan pihak berkuasa kesihatan negara, menurut Tedros.

WHO menyatakan bahawa risiko keseluruhan terhadap kesihatan awam kekal rendah pada peringkat ini.

Sementara itu, pengendali kapal persiaran Belanda, Oceanwide Expeditions memaklumkan yang dua pakar penyakit berjangkit sedang dalam perjalanan dari Belanda untuk menaiki kapal itu bagi memberikan sokongan perubatan.

Pakar berkenaan akan kekal berada di dalam kapal selepas kapal itu dijangka berlepas dari Cabo Verde, dengan syarat pemindahan tiga pesakit yang disyaki berjaya diselesaikan, menurut kenyataan syarikat itu. Seorang lagi pegawai perubatan tambahan sudah berada di dalam kapal.

WHO pada 2 Mei memaklumkan bahawa penumpang kapal persiaran Hondius mengalami penyakit pernafasan akut yang teruk sehingga menyebabkan kematian.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video