ALOR SETAR: Polis Kedah mengeluarkan 13,024 saman dalam tempoh enam hari pelaksanaan Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri yang dilancarkan pada 29 April lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah Supt Mohd Mahiri Hussin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 9,413 saman dikeluarkan atas kesalahan memandu melebihi had laju manakala bakinya atas pelbagai kesalahan lain.

"Jumlah kemalangan di negeri ini dalam tempoh enam hari pelaksanaan Op Selamat 18 adalah sebanyak 660 kes dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 135 kes berbanding tempoh yang sama pada Op Selamat 15/2019.

"Jumlah kes kemalangan maut adalah sebanyak sembilan kes, kecederaan parah (5 kes) dan kecederaan ringan sebanyak 42 kes," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Mahiri berkata sembilan kes kemalangan maut itu melibatkan lima penunggang motosikal, satu pembonceng, satu pemandu lori, satu penumpang kereta dan satu pejalan kaki.

"Kes kemalangan maut banyak melibatkan penunggang motosikal, jadi saya ingin memberi peringatan kepada penunggang motosikal supaya jangan berlumba dan membawa motosikal secara berbahaya kerana ia boleh menyebabkan berlakunya kemalangan.

"Pengguna jalan raya yang lain juga dinasihatkan supaya memandu secara berhemah dan berhati-hati serta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan bagi mengelak dari kemalangan mahupun dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

-- BERNAMA