MALAYSIA
Op Sohor: Pegawai tentera dalang seludup dadah ditahan

Azam berkata penemuan itu hasil serbuan semalam yang dijalankan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia, menyaksikan sejumlah besar dadah dirampas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai tentera yang ditahan menerusi Op Sohor kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan di selatan tanah air turut disyaki menjadi dalang penyeludupan dadah.
Ringkasan AI
- Seorang pegawai tentera yang ditahan dalam Op Sohor disyaki menjadi dalang sindiket penyeludupan dadah, selain membocorkan maklumat penting negara kepada penjenayah.
- Serbuan bersama SPRM dan JSJN membawa kepada rampasan dadah bernilai RM30,000 termasuk MDMA, kanabis, ketamin dan ekstasi, serta wang tunai, senjata tiruan dan minuman keras.
- Empat individu ditahan dalam kes dadah termasuk pegawai tentera, seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga asing, dengan siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Sebelum serbuan, kami sudah mempunyai maklumat kemungkinan penglibatan mereka dalam kes dadah, jadi JSJN dibawa bagi membolehkan tindakan diambil.
"Mungkin sebahagian dadah itu untuk kegunaan sendiri, namun jumlah yang ditemukan adalah banyak," katanya pada Program Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM 2025 di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan 10 individu, termasuk tiga pegawai dan dua bekas pegawai kanan tentera berusia antara 30 hingga 55 tahun serta seorang warga Indonesia, ditahan di sekitar Lembah Klang melalui Op Sohor yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).
Serbuan selepas risikan selama setahun itu membawa kepada rampasan wang tunai lebih RM63,000, bungkusan dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata tiruan.
Sementara itu, Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan yang ditemui ketika program berkenaan mengesahkan empat individu ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah ketika serbuan berkenaan.
Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri seorang pegawai tentera yang dipercayai menjadi dalang dan seorang lelaki rakyat tempatan serta dua wanita warga asing.
Antara rampasan melibatkan 70 peket serbuk Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 1.1 kilogram (kg), kanabis (92 gram), ketamin (22 gram), cecair MDMA (64 gram) serta ekstasi (0.6 gram), dengan keseluruhan berat 1.3 kg bernilai RM30,000.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami