JOHOR BAHRU: Polis menahan 373 individu kerana disyaki terlibat aktiviti penagihan dan pengedaran dadah, menerusi Op Tapis Khas di seluruh Johor pada Rabu lepas hingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua individu yang ditahan, terdiri daripada 355 lelaki dan 18 wanita berusia 18 hingga 70 tahun.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi berkenaan turut menahan 63 individu berstatus orang dikehendaki dan 28 tokan dadah.

Katanya dalam operasi itu juga polis merampas heroin seberat 143.37 gram (g), syabu (107.98g), ganja (97.94g) dan pil erimin 5 (empat biji).

"Kesemua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM20,772.95 dan jumlah dadah ini jika berterusan berada di pasaran, boleh digunakan seramai 1,358 orang penagih," katanya.

Kamarul Zaman berkata sejak 1 Jan hingga semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor telah menahan 8,383 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 2.27 tan dadah bernilai RM10.40 juta.

Menurut beliau dalam tempoh itu juga, seramai 170 tokan dadah telah ditangkap, iaitu peningkatan sebanyak 86.81 peratus berbanding 91 tokan dadah pada tempoh sama tahun lepas.

Sebarang maklumat berkenaan penyalahgunaan dadah di Johor orang ramai boleh terus menghubungi hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di talian 012-2087222.

-- BERNAMA