OPENAI hari ini mengumumkan persetujuan dengan syarikat News Corporation (News Corp) untuk menggunakan kandungan berita yang dimiliki oleh syarikat tersebut.

Menerusi perjanjian ini, OpenAI boleh menggunakan kandungan daripada The Times, The Wall Street Journal, Barron’s, MarketWatch, Investor’s Business Daily, FN, New York Post, The Sunday Times, The Sun, The Australian, news.com.au, The Daily Telegraph, The Courier Mail, The Advertiser, dan Herald Sun.

Persetujuan antara kedua-dua syarikat itu dianggarkan bernilai AS$250 juta untuk tempoh lima tahun dalam bentuk wang dan kredit menggunakan teknologi OpenAI.

Hanya kandungan-kandungan berita daripada penerbitan di atas boleh digunakan, tetapi kandungan lain milik News Corp seperti penerbit buku HarperCollins Corporations tidak terkandung dalam perjanjian ini.

Menerusi perjanjian ini, OpenAI boleh menawarkan maklumat yang lebih dipercayai menerusi sumber berita yang sahih.

Pada masa sama, News Corp akan berkongsi kepakaran mereka kepada OpenAI untuk menghasilkan kandungan yang melepasi piawaian kewartawanan pada kesemua produk yang ditawarkan.

Walaupun persetujuan telah ditandatangani dengan New Corp milik jutawan Rupert Murdoch, OpenAI masih berhadapan saman oleh The New York Times kerana didakwa melatih model AI tanpa kebenaran pemilik harta intelek. -Amanz