KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Bas (BRT) bagi Laluan Sunway akan mengalami perubahan operasi pada 25 Nov ini bermula 6 petang sehingga tamat waktu operasi dengan kekerapan setiap 45 minit.

Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perubahan operasi itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja persediaan penganjuran acara larian BRT Run 2023, di sepanjang trek laluan BRT Sunway, yang akan bermula 8 malam hingga 12 tengah malam.

Justeru, pengguna boleh mendapatkan perkhidmatan ini dengan menunggu di bawah setiap stesen BRT Laluan Sunway kecuali di stesen USJ7 di Hentian Bas SJ692 LRT USJ 7 (hadapan KK Mart), South Quay (Hentian Bas SJ67 Mydin USJ), Mentari (Hentian Bas PJ179 Sunway Mentari (Barat)) dan Sunway Setia Jaya (Hentian Bas Setia Jaya (bertentangan Stesen KTM Setia Jaya).

Menurut kenyataan itu, maklumat serta notis akan diletakkan di setiap stesen BRT bagi memaklumkan kepada pengguna tentang perubahan operasi sekali gus memudahkan pengguna merancang perjalanan dengan lebih awal.

Perkhidmatan BRT Laluan Sunway akan kembali beroperasi seperti biasa pada 6 pagi, 26 Nov.

Pengguna juga boleh memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store bagi merancang perjalanan selain aplikasi Google Maps untuk mengetahui lokasi bas serta melayari laman web rasmi Rapid KL di https://myrapid.com.my untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA