JOHOR BAHRU: Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Yong Peng 2 dan 3 di Batu Pahat dihentikan pada malam Sabtu sekali gus mengakibatkan berlaku gangguan bekalan air di beberapa kawasan di daerah berkenaan.

Ranhill SAJ Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi dua LRA berkenaan terjejas kerana gangguan bekalan elektrik di Empangan Bekok akibat hujan berterusan dan banjir.

"Situasi banjir ketika ini menyebabkan sedikit kesulitan pergerakan anggota kami dan atas faktor keselamatan dalam situasi semasa ini, kami memerlukan bantuan daripada pihak bomba dan Jabatan Pertahanan Awam untuk pergerakan ke lokasi.

"Segala kesulitan amat dikesali dan berharap penduduk terjejas bersabar. Segala permakluman berkaitan insiden ini akan dikemas kini dari masa ke semasa.

"Pengguna di kawasan terjejas disarankan untuk terus mendapatkan maklumat rasmi berkaitan gangguan bekalan air menerusi saluran rasmi aduan Ranhill SAJ menerusi talian mesra 1800887474, emel [email protected] atau SMS:AT<>RanhillSAJ<>Aduan dan hantar ke 63001," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Ir Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, terdapat 120 pencawang elektrik (PE) milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlibat banjir di seluruh negeri sejak banjir melanda antaranya di Segamat, Kluang, Muar, Batu Pahat dan Kota Tinggi.

Jelasnya, pihak TNB perlu memutuskan bekalan elektrik di PE berkenaan bertujuan keselamatan bukan sahaja untuk pengguna malah sebagai langkah memelihara aset mereka bagi mengelak bencana lebih besar berlaku.

"Setakat hari ini bekalan elektrik di 70 PE telah disambung semula manakala 50 PE lagi masih belum menerima bekalan sepenuhnya," kata beliau dalam Facebook miliknya pada malam Sabtu.

Menurutnya, kawasan yang masih belum menerima bekalan elektrik antaranya di Parit Sulong; Yong Peng; Ayer Hitam; Tongkang Pechah di Batu Pahat, Bukit Siput dan Chaah di Segamat selain di Kluang serta Kota Tinggi.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat apabila seramai 44,860 orang daripada 13,029 keluarga ditempatkan di 260 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi Ahad.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, mangsa banjir itu dari 10 daerah melibatkan Segamat; Batu Pahat; Kluang; Muar; Kota Tinggi; Tangkak; Mersing, Johor Bahru, Pontian dan Kulai.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Segamat merupakan daerah paling teruk terjejas melibatkan 13,334 mangsa daripada 3,897 keluarga ditempatkan di 77 PPS. - Sinar Harian