Operasi mencari oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) ditangguhkan hari ini disebabkan keadaan cuaca yang buruk di lokasi pencarian.

Oleh kerana laut yang bergelora, kapal HMAS Success berlayar keluar dari lokasi pencarian awal pagi tadi dan kini berada di bahagian selatan lokasi pencarian sehingga ombak reda.

Ombak diramalkan setinggi dua meter sehingga bergelora mencecah empat meter.

Lokasi itu juga dijangka berdepan dengan angin kuat yang mencecah sehingga 80km sejam, hujan lebat dan awan tebal yang rendah pada ketinggian 200 dan 500 kaki dari paras laut.

Pihak AMSA mengambil keputusan bahawa keadaan cuaca tersebut membahayakan dan akan memberikan risiko kepada anak-anak kapal setelah membuat penilaian risiko.

Oleh itu, AMSA telah menangguhkan semua operasi hari ini disebabkan cuaca tersebut.

Pihak AMSA turut berunding dengan Biro Meteorologi dan dijangka keadaan cuaca bertambah baik pada waktu petang dan dalam beberapa hari yang akan datang.

Operasi mencari dijangka disambung semula esok sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.

HMAS Success akan kembali ke lokasi pencarian apabila cuaca bertambah baik.

Malam tadi, kapal itu berusaha untuk mencari objek yang dilihat oleh pesawat RAAF P3 Orion. Objek tersebut dikesan oleh pesawat itu pada 11.45 pagi semalam.

Semalam, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi.