KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) membidas kenyataan Armada Bersatu Malaysia (Armada) berhubung operasi Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) di Miri Crude Oil Terminal.


Ringkasan AI
  • Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) membidas kenyataan Armada Bersatu Malaysia (Armada) berhubung operasi Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) di Miri Crude Oil Terminal, yang dianggap memperlekehkan hak dan tuntutan Kerajaan Sarawak ke atas sumber minyak dan gas.
  • Pemuda PBB menegaskan bahawa Sarawak masih menguatkuasakan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 dan Ordinan Pengedaran Gas (DGO) 2016, yang mana mana-mana pihak yang ingin beroperasi di Sarawak harus patuh kepada undang-undang negeri tersebut.
  • Pemuda PBB berharap Petros dan Petronas dapat terus bekerjasama berlandaskan peraturan dan undang-undang yang wujud di pihak Persekutuan dan negeri demi pembangunan sektor minyak dan gas di Sarawak.


Pemuda PBB dalam kenyataan hari ini menegaskan, Armada seolah-olah memperlekehkan hak, pemilikan serta tuntutan Kerajaan Sarawak ke atas sumber minyak dan gas di negeri itu.

Katanya, pandangan Armada yang memetik Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 sebagai satu-satunya undang-undang utama yang memberikan kuasa mutlak kepada Petronas dalam pengurusan dan pengedaran minyak dan gas di Sarawak, disifatkan sebagai tidak tepat.

Jelas Pemuda PBB, ini kerana Sarawak tidak pernah memansuhkan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 iaitu undang-undang negeri yang kekal berkuatkuasa hingga hari ini untuk mengawal selia sektor minyak dan gas.

"Mana-mana pihak yang ingin beroperasi di Sarawak harus patuh kepada undang-undang negeri termasuk OMO serta Ordinan Pengedaran Gas (DGO) 2016.

"Di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk mengeluarkan lesen serta sijil perlombongan adalah tertakluk kepada Kerajaan Negeri melalui Perkara 2(c) dalam Senarai Negeri (Senarai II).

"Dalam erti kata lain, sebarang aktiviti penggalian harus mendapat kelulusan dari Kerajaan Sarawak," kata Pemuda PBB pada Ahad.

Pemuda PBB juga menggesa semua pihak termasuk Armada agar lebih peka dan merujuk undang-undang Negeri Sarawak sebelum membuat apa-apa kenyataan berhubung perihal minyak dan gas serta tuntutan Kerajaan Sarawak.

Selain itu, pihaknya menggesa agar undang-undang negeri dihormati oleh semua pihak, seperti mana segelintir pihak yang menggesa agar Sarawak menghormati undang-undang Persekutuan.

"Janganlah menganggap seolah-olah undang-undang Negeri Sarawak tidak wujud dan seakan-akan dipijak," katanya lagi.

Dalam masa sama, Pemuda PBB berharap Petros dan Petronas dapat terus bekerjasama berlandaskan peraturan dan undang-undang yang wujud di pihak Persekutuan dan negeri demi pembangunan sektor minyak dan gas di Sarawak.

Pada Sabtu, media melaporkan Armada menolak sekeras-kerasnya dakwaan kerajaan Sarawak bahawa PCSB telah menjalankan operasi secara haram di Miri Crude Oil Terminal.

Exconya, Na’im Brundage berkata, tuduhan tersebut tidak berasas dan bercanggah dengan kerangka undang-undang sedia ada.