Seorang operator pengeluaran kilang yang dipercayai membuang mayat bayi lelaki milik teman wanitanya ke dalam lubang kumbahan di belakang sebuah rumah di Kandang, Melaka, direman empat hari.



Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, penahanan reman terhadap suspek berusia 25 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.



Perintah tahanan reman sehingga 27 Jun ini dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd Anuar Ostadi.



Mohd Nor Yhazid berkata, suspek wanita yang berusia 23 tahun dibebaskan dengan jaminan polis susulan masih menerima rawatan di Hospital Melaka berikutan mengalami gejala demam.



Dalam kejadian petang semalam, kedua-dua suspek ditahan selepas menerima laporan daripada wakil sebuah kilang di Batu Berendam, memaklumkan salah seorang pekerja mengaku telah melahirkan bayi di sebuah rumah sewa di Taman Perkota, Bukit Baru selepas mengambil sejenis ubat menggugurkan kandungan yang telah dibeli secara dalam talian.



Wanita tersebut juga mengakui telah menyerahkan mayat bayi lelaki berusia sekitar lima hingga tujuh bulan berkenaan kepada teman lelakinya, bagaimanapun tidak pasti sama ada bayi malang itu dibuang atau telah dibakar.



Siasatan awal mendapati suspek lelaki itu mengaku menerima bayi dalam keadaan berbalut plastik dan membuang mayat bayi malang itu ke dalam lubang kumbahan di belakang rumahnya di Kampung Kandang.



Kerja-kerja mencari di lubang kumbahan sedalam tujuh kaki itu kemudian menemui beberapa cebisan bahagian anggota badan mayat bayi malang berkenaan yang tersangkut di penapis hos air pasukan bomba.