Skip to main content

Malaysia

Ops Bersepadu: JPJ Perak kesan 39 pemandu positif dadah

TB_Ops Bersepadu JPJ Perak_JPJ Perak.jpg
Mohammad Yusoff berkata keseluruhannya 153 pemandu kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam diperiksa menerusi operasi itu, dengan 27 lesen memandu turut ditahan bagi tindakan lanjut. - Gambar JPJ Perak
Advertisement

GERIK: Sebanyak 39 pemandu dikesan positif dadah hasil pemeriksaan Operasi Bersepadu Dadah di seluruh Perak sejak 1 Julai lepas.

Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata daripada jumlah tersebut, 38 merupakan pemandu kenderaan perdagangan manakala seorang lagi pemandu kenderaan perkhidmatan awam.

Beliau berkata 18 individu dikesan terlibat dengan penyalahgunaan ketum manakala 16 lagi positif methamphetamine, morfin (tiga) dan ganja (dua).

"Mengikut pecahan lokasi penguatkuasaan, Stesen Penguatkuasaan Gerik (SPG) merekodkan jumlah pemandu positif tertinggi, iaitu 11, diikuti Taiping (lapan), Seri Manjung dan Tapah masing-masing tujuh kes, Teluk Intan (empat) dan Stesen Penguatkuasaan Kuala Kangsar (SPKK) dua kes," katanya pada sidang media selepas Operasi Bersepadu Dadah di Stesen Penguatkuasaan JPJ Gerik, di sini hari ini.

Mohammad Yusoff berkata keseluruhannya 153 pemandu kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam diperiksa menerusi operasi itu, dengan 27 lesen memandu turut ditahan bagi tindakan lanjut.

Mohammad Yusoff berkata daripada 27 lesen yang ditahan, 14 ialah Lesen Memandu Kompeten (CDL) manakala 13 lagi melibatkan Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL).

“Operasi ini memberi tumpuan kepada pemandu kenderaan perdagangan, kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan pelancongan di lokasi strategik seperti kawasan rehat dan rawat (R&R), terminal bas serta lokasi yang dikenal pasti berdasarkan analisis risiko dan maklumat risikan,” katanya.

Beliau berkata lesen memandu vokasional pemandu yang didapati positif saringan dadah akan ditahan sehingga siasatan AADK selesai sebelum lesen berkenaan digantung selama tiga bulan.

Katanya, JPJ turut akan mengambil tindakan terhadap syarikat pengangkutan yang gagal memastikan pemandu mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah, termasuk melaksanakan audit bagi memastikan pematuhan terhadap syarat keselamatan dan pengurusan pemandu.

Sementara itu, beliau berkata operasi hari ini dijalankan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Puspakom.

"Operasi bersepadu ini akan diteruskan sepanjang Julai di seluruh Perak pada waktu yang berbeza dengan kerjasama AADK dan agensi berkaitan bagi memastikan hanya pemandu yang layak, kompeten serta bebas daripada pengaruh dadah dibenarkan mengendalikan kenderaan perdagangan," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement