Anggota keselamatan negara telah bertembung dengan kumpulan musuh yang terdiri dari empat orang dan seorang daripadanya telah berjaya ditembak mati pada pukul 10:15 pagi tadi.

Pertempuran dengan dua anggota musuh lagi masih berterusan dan anggota keselamatan masih lagi menjejaki kumpulan ini.

Pihak berkuasa akan mengeluarkan mayat musuh bila keadaan sudah selamat.

“Operasi ini akan diteruskan sehingga kampung Tanjung Batu ini benar-benar selamat dan bersih dari musuh,” Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata kepada pemberita di sidang media Operasi Daulat yang telah diadakan di Lahad Datu pada Ahad.

Pertempuran berlaku di kampung Tanjung Batu semasa operasi menjejaki musuh dan penggeledahan di jalankan.

“Dengan terbunuhnya musuh hari ini, jumlah musuh yang dapat ditewaskan adalah sebanyak 62 orang” tambah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.

Hamza juga berkata bahawa saki-baki musuh ini dilihat sudah bergerak dalam kumpulan kecil dan beliau berharap orang ramai tidak memasuki kawasan operasi.

Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat terkini terhadap penglibatan musuh yang bergerak dalam kumpulan kecil ini agar dapat menghubungi pihak keselamatan dengan segera.

“Kita yakin dalam sedikit masa lagi, kita dapat bersihkan kawasan-kawasan ini dan benarkan masyarakat untuk memasuki rumah masing-masing” katanya lagi kepada pemberita.