KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan wujud kebocoran maklumat dalaman dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dipercayai membolehkan sindiket tonto mengetahui operasi penguatkuasaan lebih awal.
Beliau berkata, perkara itu dikesan selepas menerima pelbagai aduan termasuk daripada pengusaha lori di beberapa negeri, bukan sahaja di selatan Semenanjung malah turut melibatkan Sabah.
Advertisement
“Terdapat keadaan di mana maklumat berkaitan operasi penguatkuasaan sudah diketahui oleh pengusaha sebelum pegawai JPJ turun ke lapangan,” katanya.
“Ini bermaksud ada kaki tangan atau pegawai penguat kuasa JPJ yang membocorkan maklumat kepada pihak luar sebelum tindakan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan RAC Tahun 2025 dan Program Ihya Ramadan bersama anak yatim dan media di Kuala Lumpur pada Rabu.
Loke berkata, insiden kebocoran itu berlaku beberapa kali dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, sekali gus menjejaskan keberkesanan operasi besar-besaran yang dilaksanakan bagi membanteras isu lebih muatan (overloading).
Katanya, pada awalnya pihak kementerian tertanya-tanya mengapa terdapat pengusaha yang seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang.
“Akhirnya kita tahu bahawa mereka mendapat maklumat lebih awal. Jadi apabila ada operasi, mereka akan patuh had muatan pada hari tersebut,” jelasnya.
Susulan itu, beliau telah memaklumkan perkara berkenaan kepada Ketua Pengarah dan Pengarah Penguat Kuasa JPJ sebelum tindakan susulan diambil bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hasil kerjasama tersebut membawa kepada tangkapan beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah dan penyaluran maklumat kepada sindiket tonto.
Loke turut merakamkan penghargaan kepada SPRM dan pengurusan tertinggi JPJ atas tindakan tegas yang diambil serta menegaskan sokongan penuh terhadap usaha membersihkan elemen negatif dalam jabatan berkenaan.
“Perkara ini tidak boleh dikompromi. Kita mesti mempertahankan imej dan integriti JPJ,” tegasnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa bukan sahaja pegawai yang terlibat akan dikenakan tindakan, malah pengusaha yang membayar tonto untuk mendapatkan maklumat juga sedang dikenal pasti.
Jika kesalahan berulang, katanya, bukan sahaja permit boleh digantung, malah lesen pengendali juga boleh ditarik balik sebagai langkah lebih tegas memastikan pematuhan undang-undang.
Terdahulu pada Rabu SPRM menahan reman 13 individu termasuk tiga anggota penguat kuasa kerana disyaki mendalangi kartel tonto yang berkaitan dengan aktiviti rasuah perlindungan haram terhadap kenderaan perdagangan.
Operasi bersepadu telah dijalankan bersama (JPJ) membabitkan serbuan ke atas 14 kediaman dan 18 syarikat sekitar Lembah Klang.
Kesemua suspek disyaki menjadi ejen dan ‘orang tengah’ yang menawarkan dan memberi rasuah antara RM100 hingga RM4,500 setiap bulan kepada anggota-anggota penguat kuasa JPJ Kuala Lumpur dan Selangor sebagai balasan untuk melindungi serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori-lori mereka di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).