KUANTAN: Ops Pantau yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan 12,466 pemeriksaan premis di seluruh Pahang sepanjang 2023 hingga 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, hasil daripada pemeriksaan itu, 102 kes telah dihasilkan dengan nilai kompaun berjumlah RM18,600.
Advertisement
“Mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan tegas selaras dengan peruntukan akta serta perundangan subsidiari di bawah KPDN,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN Pahang meneruskan Ops Pantau 2026 bermula 19 Feb lepas hingga 20 Mac ini bagi memastikan kestabilan bekalan serta pematuhan harga barangan sepanjang Ramadan dan sambutan Aidilfitri.
Beliau berkata, pegawai penguat kuasa telah ditempatkan di lokasi strategik dan kawasan tumpuan pengguna termasuk pasar raya, pasar awam, pasar malam, pasar tani, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri serta premis jualan dalam talian bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan menyeluruh.
“Skop pemeriksaan memberi tumpuan kepada bekalan dan harga barangan keperluan seperti gula, ayam, telur, minyak masak, tepung gandum, barangan basah serta bahan membuat kuih-muih.
“Pemeriksaan turut memastikan setiap barangan dipamerkan dengan tanda harga yang jelas, tiada aktiviti pencatutan dan barangan harga terkawal dijual mengikut harga maksimum yang diwartakan kerajaan,” katanya.
Sim berkata, KPDN Negeri Pahang kekal komited dalam memastikan persekitaran perniagaan yang adil, beretika dan mematuhi undang-undang di samping memelihara kesejahteraan serta kepentingan pengguna sepanjang musim perayaan.
Dalam usaha menjayakan inisiatif Kita Gempur, beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan aduan melalui saluran rasmi KPDN termasuk portal e-aduan, talian bebas tol, aplikasi Ez ADU, WhatsApp serta pejabat cawangan di seluruh negeri.
-- BERNAMA