KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menyeru rakyat supaya tidak terpengaruh dengan segelintir pihak, khususnya ahli politik yang gemar meniup api perpecahan demi kepentingan sempit.
Sempena perayaan Tahun Baru Cina, baginda bertitah, perpaduan yang dibina sekian lama tidak harus digadai oleh retorik yang memecah-belahkan rakyat.
Advertisement
“Negara ini milik kita bersama, dan keharmonian yang dinikmati hari ini adalah hasil toleransi serta kebijaksanaan generasi terdahulu,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Baginda turut berharap rakyat terus memelihara keharmonian dengan menjadikan nilai kesederhanaan, rasa hormat dan semangat kekitaan sebagai pegangan bersama.
“Hormatilah perayaan agama dan budaya kaum lain, sebagaimana kita mahu perayaan kita dihormati,” titah baginda.
Baginda menzahirkan harapan agar sambutan tahun ini membawa sinar harapan baharu, memperkukuh perpaduan, serta menambahkan rasa kasih sayang antara semua.
Pada masa sama, baginda mengimbas bahawa perayaan Tahun Baru Cina bukan sekadar tradisi turun-temurun, tetapi juga lambang kekayaan budaya dan warisan yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia.
“Malaysia dibina atas asas kepelbagaian kaum, agama dan budaya. Kekuatan inilah yang menjadikan kita unik serta dihormati di persada dunia,” titah baginda.
Baginda juga mengingatkan rakyat bahawa setiap perayaan harus dijadikan wadah untuk memperkukuh semangat muhibah dan saling menghormati antara semua kaum.
“Biarlah kunjungan rumah terbuka, ucapan tahniah dan amalan berkongsi rezeki menjadi bukti keikhlasan kita dalam menghormati kepercayaan dan budaya antara satu sama lain,” titah baginda.