Skip to main content

Malaysia

Ops Serkap: JIM tumpaskan sindiket pemalsuan dokumen pekerja asing, kaut untung RM100 juta

Putrajaya , 15 APril 2026. Ketua Pengarah Imigresen Malaysia , Datuk Zakaria Shaaban pada sidang di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia berkenaan sidang media kejayaan menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen dalam operasi Ops Serkap.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban semasa sidang media Operasi Penguatkuasaan Khas Imigresen hari ini. - Foto Astro AWANI

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkar kegiatan satu sindiket pemerdagangan manusia dan pemalsuan dokumen pekerja asing melalui operasi khas, 'Ops Serkap' yang dijalankan pada Isnin dan Selasa lalu.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak 2019 dan telah mengaut keuntungan dianggarkan melebihi RM100 juta sepanjang tempoh itu.

Advertisement

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu adalah hasil risikan selama enam bulan yang dilaksanakan di enam lokasi sekitar ibu negara susulan maklumat daripada orang awam serta laporan media.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, pihak berkuasa merampas pelbagai dokumen imigresen yang telah diubah suai termasuk e-pass, pelekat keselamatan dan slip berkaitan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pemalsuan.

“Antara barangan dirampas ialah 111 pasport pelbagai negara, 10 komputer riba, enam telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,950,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Dalam operasi sama, sembilan individu berusia antara 26 hingga 61 tahun turut ditahan, terdiri daripada warga Nepal, India dan Bangladesh, seorang lelaki tempatan serta seorang wanita warga Vietnam yang berstatus pemastautin tetap.

Zakaria berkata, Imigresen turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memperluaskan skop siasatan, termasuk meneliti kemungkinan penglibatan rangkaian lain serta aliran kewangan sindiket itu.

Menurutnya, lelaki tempatan dan wanita warga Vietnam berkenaan dipercayai bertindak sebagai pemilik serta pengarah syarikat yang digunakan sebagai saluran kegiatan sindiket tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan pasukan operasi turut menahan dalang utama sindiket, seorang lelaki warga Nepal berusia 43 tahun, dalam serbuan di Jalan Galloway, Kuala Lumpur.

“Pasukan operasi berjaya memintas sebuah kenderaan jenis Nissan Sentra yang dinaiki suspek apabila dia disyaki cuba melarikan diri,” katanya.

Suspek utama dikenal pasti sebagai Mahendra Jung Shah atau dikenali sebagai ‘MJ’, seorang warganegara Nepal yang memegang pas ekspatriat sah.

Zakaria berkata, suspek itu juga mempunyai rekod lampau dan pernah ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism (E8), Bukit Aman pada 2016.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai telah beroperasi lebih tujuh tahun dan berperanan sebagai pengatur utama kemasukan pekerja asing secara tidak sah,” katanya.

Beliau menjelaskan, modus operandi sindiket adalah membawa masuk pekerja asing secara haram sebelum membekalkan dokumen serta pas imigresen palsu bagi membolehkan mereka bekerja di negara ini, dengan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 seorang.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) serta undang-undang berkaitan.
 

 

Must Watch Video