HULU LANGAT: Segelintir penduduk Hulu Langat menzahirkan sedikit rasa kesal terhadap sikap beberapa individu yang datang ke daerah berkenaan untuk mengambil barangan keperluan percuma yang diagihkan.

Ia berikutan ada dalam kalangan mereka bukan daripada penduduk tempatan dan tidak dikenali, namun dikesan telah mengambil barangan sumbangan dengan jumlah yang banyak serta berulang kali.

"Kami suka sebenarnya berbahagi rezeki kepada semua termasuk orang luar seandainya mereka memerlukan. Namun janganlah ada pihak yang sengaja mencari keuntungan atau mengambil kesempatan untuk ambil barang keperluan asas yang diagihkan bukan bertujuan untuk mangsa banjir.

"Saya perasan ada kenderaan yang sama berulang kali datang ke tempat saya ini dan mengambil barangan asas seperti beras dan barangan lain dengan jumlah yang banyak tanpa diketahui tujuan mereka. Apatah lagi mereka bukan dari kalangan orang sini," kata Syena Zali, 45, yang giat mengagihkan barangan keperluan secara percuma.

Menurut wanita itu, barangan keperluan yang diagihkan kepada mangsa banjir di situ adalah menggunakan sumber kewangan terkumpul daripada rakan-rakan, keluarga sendiri dan orang ramai.



Malah katanya, apabila ditanya, individu berkenaan hanya diam dan segera meninggalkan kawasan itu.

"Tiada masalah (pemberian) kepada sesiapa yang susah. Datanglah... kami sedia bantu andai jujur dalam kesusahan sepertimana kebanyakan kami di sini.

"Kami juga bersyukur kerana bantuan dari pelbagai pihak datang mencurah sejak kami dilanda banjir. Terima kasih rakyat Malaysia," jelasnya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dijangka hadir ke kawasan bencana di daerah itu petang ini.

Kehadiran beliau yang dijadualkan jam 3.30 petang nanti mungkin mampu melihat semula secara lebih dekat keperluan semasa mangsa banjir dan menguruskan tindakan drastik berdasarkan keperluan penduduk yang terjejas.

Mungkin juga, kehadiran Hasanuddin adalah masanya untuk penduduk Hulu Langat mengadu nasib mereka selepas terbeban dengan bencana yang melanda.

Sebelum ini, banyak keluhan dan pertanyaan dilontarkan selepas beliau tidak kelihatan di kawasan bencana, kerana berada di luar negara.