KUALA LUMPUR: Orang Melayu perlu terus mengambil jalan perpaduan dan memperkukuh keharmonian demi menunjukkan kekuatan bangsa dan ummah.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, perpaduan seperti yang ada di Selangor hendaklah dipertahankan dan perlu terus ditingkatkan andai negeri ingin lebih maju dan progresif.

Baginda turut bertitah agar rakyat menjauhi prasangka buruk antara satu sama lain dan sentiasa suburkan sikap toleransi demi menjaga keharmonian di Selangor.

Titah Baginda lagi, negara yang rakyatnya tidak bersatu padu dan berpecah belah, tidak akan dapat mencapai kemajuan dan kejayaan yang diharapkan.

Justeru, Sultan Sharafuddin menitahkan pemimpin politik memainkan peranan mereka bagi menyatupadukan rakyat dan tidak mengeruhkan keadaan dengan membangkitkan isu yang boleh membawa kepada perpecahan.

“Beta sentiasa mendoakan agar orang Melayu Islam di negeri Beta ini dijauhi daripada sifat dan sikap yang tidak baik dan dilarang oleh Islam seperti menipu, mengadu domba, memfitnah dan juga mencaci.

“Beta tidak mahu sikap-sikap buruk ini terus berleluasa khususnya di media-media sosial. Apa yang membimbangkan Beta, sikap-sikap buruk yang dilarang oleh agama Islam ini telah mula menular di kalangan segelintir golongan terpelajar.

“Beta dapati akhir-akhir ini ramai yang mengaku diri mereka sebagai agamawan atau ilmuan dan telah cuba mempengaruhi rakyat dengan menyampaikan pendapat dan hujah-hujah mengenai isu-isu agama.

“Namun sebaliknya mereka mempunyai agenda peribadi yang tersembunyi. Bak kata pepatah Melayu 'ada udang di sebalik batu' dalam setiap tindakan yang dibuat,” titah Baginda.

Titah Baginda lagi, mereka itu menggunakan agama, kedudukan dan populariti untuk meraih sokongan masyarakat dan sanggup melihat umat Islam di negara ini berpecah belah.

“Oleh yang demikian, Beta suka menasihatkan kepada seluruh umat Islam supaya sentiasa berwaspada dan bijak dalam menilai siapa yang sebenarnya ulama sejati dan siapa yang hanya mempergunakan agama untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu,” titahnya.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian dalam Majlis Perasmian Masjid Damansara Perdana di Kuala Lumpur pada Jumaat.
-ENDS-