PUTRAJAYA: Orang ramai diminta menggunakan fasiliti kesihatan berhampiran untuk rawatan kes biasa dan bukan kecemasan bagi membantu mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan Hospital Cyberjaya.

Dalam kenyataan hari ini, susulan isu penolakan pesakit di hospital itu bertarikh 10 Februari lepas, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata Jabatan Kecemasan Hospital Cyberjaya memberi keutamaan kepada kes kecemasan dan kritikal.

Beliau berkata Hospital Cyberjaya yang mula beroperasi 11 November lepas, menawarkan perkhidmatan kecemasan, Obstetrik dan Ginekologi, Pediatrik, Perubatan Am, Pembedahan Am, Patologi, Radiologi dan Anestesiologi serta Jabatan Farmasi juga telah mula membekalkan ubat-ubatan mengikut perkhidmatan disediakan.

"Orang awam boleh mendapatkan perkhidmatan di Hospital Cyberjaya melalui Klinik Pakar dan Jabatan Kecemasan," katanya.

Terdahulu, tular di Twitter seorang pengguna @adlisabatrisyia membangkitkan isu Hospital Cyberjaya yang didakwanya kakitangan tidak mahu menerima pesakit.

Dr Sha'ari berkata sebarang usaha ke arah penambahbaikan penyampaian perkhidmatan di hospital itusentiasa dialu-alukan dan dipertimbangkan sewajarnya.

"Orang ramai digalakkan untuk mengemukakan sebarang maklum balas atau cadangan melalui UnitPerhubungan Awam Hospital Cyberjaya di emel [email protected]," katanya.

-- BERNAMA