Skip to main content

Bisnes

Belanjawan 2027: Di sebalik tekanan global, hasil negara diunjur meningkat ke RM380.8 bilion - PM Anwar

Anwar memaklumkan KDNK bagi suku kedua 2026 mencatat prestasi membanggakan pada kadar enam peratus, memacu unjuran pertumbuhan keseluruhan tahun ini antara 4.8 hingga 5.3 peratus. - Gambar fail
Anwar memaklumkan KDNK bagi suku kedua 2026 mencatat prestasi membanggakan pada kadar enam peratus, memacu unjuran pertumbuhan keseluruhan tahun ini antara 4.8 hingga 5.3 peratus. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Di sebalik gejolak ketidaktentuan ekonomi dunia dan kenaikan kos subsidi bahan api susulan konflik Asia Barat, hasil Persekutuan bagi tahun 2027 diunjur terus meningkat kepada RM380.8 bilion.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Bagi tahun 2026, hasil negara turut disemak lebih tinggi kepada RM363.6 bilion berbanding unjuran asal RM343.1 bilion, sekali gus membuktikan asas kedudukan kewangan awam yang kekal mampan meskipun kerajaan terpaksa menanggung beban subsidi bahan api mencecah RM40 bilion.

Tekanan berkenaan menyaksikan unjuran defisit fiskal tahun 2026 disemak kepada 3.6 peratus berbanding sasaran asal 3.5 peratus.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan trajektori konsolidasi fiskal negara kekal berada pada landasan penurunan yang berdisiplin.

"Namun, kadar ini kekal dalam jalur menurun daripada 5.5 peratus pada 2022 dan 3.7 peratus tahun lalu. Insya-Allah, defisit 2027 akan turun lagi kepada 3.3 peratus, menuju sasaran 3 peratus menjelang 2028," kata beliau sewaktu membentangkanBelanjawan 2027 di Parlimen.

Disiplin mengurangkan defisit dan pengawalan pinjaman baharu turut membolehkan nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun secara konsisten daripada 65.2 peratus pada 2025 kepada 64.0 peratus pada 2026, dan dijangka menyusut lagi kepada 63.7 peratus menjelang tahun 2027.

Menyentuh pertumbuhan ekonomi makro, Perdana Menteri memaklumkan KDNK bagi suku kedua 2026 mencatat prestasi membanggakan pada kadar enam peratus, memacu unjuran pertumbuhan keseluruhan tahun ini antara 4.8 hingga 5.3 peratus.

Bagi tahun 2027, momentum ekonomi domestik dijangka terus berkembang kukuh pada kadar 4.2 hingga 5.2 peratus.

Secara keseluruhan, Belanjawan 2027 meneruskan dasar fiskal mengembang dengan jumlah penggemblengan dana negara mencecah RM510 bilion berbanding RM470 bilion sebelum ini.

Angka berkenaan merangkumi RM459.8 bilion bagi peruntukan Belanjawan Persekutuan, iaitu RM376.8 bilion bagi Belanja Mengurus dan RM83 bilion Belanja Pembangunan, di samping sumbangan RM25 bilion daripada pelaburan domestik syarikat GLIC di bawah inisiatif GEAR-UP serta pelaburan Badan Berkanun Persekutuan.

Keutuhan fiskal ini turut diperkukuh dengan pencapaian angka perdagangan lapan bulan pertama 2026 yang mencecah RM2.5 trilion, didorong lonjakan pasaran eksport sebanyak 31.2 peratus kepada RM1.36 trilion.

 

 

Must Watch Video

Advertisement