Ringkasan AI
- Kerajaan akan menggubal RUU Entiti Milik Kerajaan untuk memperketat tatakelola syarikat milik kerajaan dan badan berkanun demi mencegah penyelewengan kewangan.
- Perdana Menteri menegaskan komitmen mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dan mengasingkan peranan Peguam Negara serta Pendakwa Raya walaupun cabaran legislatif wujud.
- Semua kutipan bayaran balik pinjaman badan berkanun persekutuan diwajibkan diguna semula untuk tujuan asal, disokong penguatkuasaan Akta Perolehan Kerajaan mulai 2027.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan bagi memperketat tatakelola syarikat milik kerajaan dan badan berkanun demi memastikan skandal penyelewengan kewangan lampau tidak lagi berulang.
Perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Beliau mengingatkan bahawa pengajaran daripada krisis tadbir urus melibatkan kes-kes berprofil tinggi negara perlu menjadi iktibar berterusan.
"RCI Tabung Haji, kemelut FELDA dan sebelumnya skandal 1MDB seharusnya menyentak sanubari kita: apabila kuasa disalah guna, yang hilang tidak hanya wang ringgit, tetapi hak rakyat dan maruah negara," tegasnya.
Menurut Anwar, RUU Entiti Milik Kerajaan dirangka khusus untuk mengawal selia pengurusan aset dan dana rakyat oleh entiti berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan secara telus dan bertanggungjawab.
Menyentuh agenda reformasi institusi yang lebih mencabar, beliau mengakui pembaharuan paling sukar adalah apabila kerajaan bersedia membatasi kuasanya sendiri.
Justeru, Anwar menegaskan iltizam kerajaan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dan merealisasikan pengasingan peranan antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya tidak akan sesekali terhenti, biarpun berdepan cabaran sokongan legislatif.
"Tahun ini, usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri telah dibawa ke Parlimen, namun belum memperoleh sokongan dua pertiga. Cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya pula telah diteliti secara mendalam. Kita menghormati proses Parlimen, tetapi tekad melakukan pembaharuan ini tidak akan pernah pudar," kata beliau.
Bagi menutup ruang ketirisan hasil awam, Anwar turut mengumumkan dasar tegas terhadap tatakelola dana badan berkanun persekutuan.
"Mulai sekarang, semua kutipan bayaran balik pinjaman termasuk pinjaman pendidikan dan perniagaan yang dibiayai menggunakan peruntukan persekutuan serta hasil faedah yang dijana diwajibkan diguna semula khusus untuk tujuan dan kumpulan sasar asal sahaja.
"Badan terbabit dilarang sama sekali menggunakan kutipan pinjaman tersebut bagi membiayai perbelanjaan mengurus institusi masing-masing.
"Langkah pengukuhan integriti ini disokong penguatkuasaan Akta Perolehan Kerajaan mulai 2027 yang mewajibkan penzahiran terbuka butiran kontraktor dan nilai kontrak, di samping penyediaan peruntukan RM1.1 bilion bagi memperhebat operasi agensi penguatkuasaan seperti SPRM, PDRM, KPDN, JKDM dan MyCC," ujarnya lagi.