KUALA LUMPUR: Saringan keselamatan di lapangan terbang akan diperketat, termasuk mewajibkan ujian dadah dan alkohol terhadap juruterbang serta kru penerbangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata susulan itu, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) diperuntukkan RM490 juta bagi memperkukuh pelaksanaan kawalan serta keselamatan sempadan negara.
"Sebanyak 48 mesin pengimbas badan dan bagasi baharu akan dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang dan Kota Kinabalu," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan masing-masing menerima peruntukan RM22 bilion.
Daripada jumlah itu, RM7.1 bilion dikhususkan bagi pembelian dan penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta badan beruniform di bawah KDN.
Beliau berkata beberapa fasiliti baharu turut akan dibina, antaranya Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri di Tanjung Kupang, Johor dan Kompleks Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras.
Projek lain termasuk pembinaan Pejabat Imigresen Keningau, Sabah serta tiga balai polis baharu masing-masing di Sungai Rambai, Melaka; Tanjung Malim, Perak; dan Batu Lintang, Sri Aman, Sarawak.