SELEPAS berita mengenai warga emas yang menampar dan memukul budak perempuan lebih 30 kali dengan penggaru badan direman, pengguna laman sosial mahu hukuman setimpal dikenakan terhadapnya.

Wanita tersebut direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam selepas videonya memukul kanak-kanak berusia lingkungan enam tahun bertajuk ‘Aci Baran’ viral di Facebook sejak malam semalam.

Difahamkan video berdurasi 50 saat itu dirakam rakan baik suspek.


Perintah reman hingga 13 Jun ini, dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar, Hairol Azhar Mohd Ishak, terhadap suspek berusia 62 tahun itu.

Permohonan reman itu dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan terhadap wanita itu dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Hukuman adalah penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Azlin Sadari ketika dihubungi memaklumkan suspek adalah nenek saudara mangsa dalam kejadian yang berlaku pada September 2016.