Datuk Osman Sapian yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor semalam, merupakan menteri besar yang dipercayai paling singkat mentadbir kerajaan negeri ini iaitu tidak sampai 11 bulan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-16 di Istana Bukit Serene pada 12 Mei tahun lepas, susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.

Osman, ketika dilantik merupakan Setiausaha PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor, menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin daripada Barisan Nasional (BN) sebagai menteri besar.

Pada PRU lepas, PH memenangi 36 kerusi DUN berbanding BN yang mendapat 19 kerusi dan PAS dengan satu kerusi, sekali gus mendapat mandat parti itu membentuk kerajaan negeri.

Osman yang bertanding di kerusi DUN Kempas memperoleh 21,137 undi mengalahkan lawannya dengan majoriti 9,178 undi iaitu calon BN, Datuk Ramlee Bohani yang menerima 11,959 undi manakala calon PAS, Dzulkifli Suleiman menerima 2,321 undi.

Pengerusi PH Johor dan Bersatu Johor itu, pernah menyandang jawatan sebagai ADUN Kempas di bawah BN selama tiga penggal mulai 1999 hingga 2013 sebelum digugurkan daripada bertanding pada PRU-13.

Hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Osman sudah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor semalam, dan Osman telah menyerahkan dua surat peletakan jawatan kepadanya dalam satu pertemuan di Putrajaya semalam, dengan satu daripadanya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Walaupun tempoh menerajui pentadbiran kerajaan negeri terlalu singkat, Osman merupakan Menteri Besar yang agak kontroversi.

BACA: Pertahan hak Melayu, Bumiputera bukan rasis - Osman Sapian

Sebaik dilantik, beliau membuat kenyataan bahawa kerajaan PH tidak akan memberi sebarang peruntukan kepada ADUN pembangkang di Johor, berbeza dengan pendirian PH di peringkat pusat yang mahu memberi peruntukan kepada semua wakil rakyat, tanpa mengira sama ada kerajaan atau pembangkang.

Bagaimanapun, Osman kemudian menjelaskan hasrat awal kerajaan negeri untuk tidak menyalurkan peruntukan pembangunan kepada pembangkang, adalah keputusan yang belum lagi dimuktamadkan.

BACA: RM50,000 diperuntukkan untuk ADUN pertingkat perkhidmatan kepada rakyat

Awal tahun ini pula, beberapa portal berita dari Singapura mendakwa Osman memasuki perairan negara itu semasa lawatannya ke kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura pada 9 Jan. Laporan itu disangkal Osman.

Singapura mendakwa Osman menceroboh perairan wilayahnya dan mengemukakan bantahan melalui nota diplomatik kepada Wisma Putra bertarikh 11 Jan, dan juga meminta penangguhan mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Bersama peringkat Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijadualkan pada 14 Jan.

Februari lalu, Osman turut terpalit isu sijil palsu sebelum mengakui beliau tidak menamatkan pengajian ketika menuntut di Kolej Pertanian Malaya, yang kemudiannya dinaik taraf menjadi Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Osman turut menjelaskan yang beliau tidak tahu mengenai beberapa laman sesawang yang mengatakan dirinya berkelulusan diploma dan ijazah perakaunan daripada UPM.

-- BERNAMA