GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membuat pindaan Perlembagaan Negeri bagi melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti supaya kekal konsisten dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang dipinda.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau telah mengarahkan Penasihat Undang-Undang Pulau Pinang untuk melihat dan membantu bagaimana ia dapat diselarikan dalam perkara tersebut.

Katanya Pulau Pinang juga akan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri khas untuk melaksanakan pindaan yang perlu kepada Perlembagaan Negeri Pulau Pinang supaya ia dapat dibentangkan dalam masa terdekat iaitu pada September nanti.

"Kita berharap dapat ambil tindakan ini supaya dapat kemas kini undang-undang negeri sedia ada dan selari dengan apa yang diluluskan di Parlimen semalam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan semalam.

Sementara itu, Chow berkata beliau amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada detik bersejarah semalam menyaksikan 209 Ahli Parlimen yang hadir mengundi menyokong pindaan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan untuk mengelakkan lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen.

"Memandangkan keputusan monumental ini, Pulau Pinang berhasrat untuk meminda Perlembagaan Negeri kita dengan sewajarnya (Perlembagaan Negeri Pulau Pinang) agar peruntukan yang berkaitan kekal konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang dipinda," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk merujuk isu perlembagaan berhubung enakmen anti lompat parti negeri itu akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 3 Ogos.

-- BERNAMA