GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang tidak akan menganjurkan majlis untuk meraikan sambutan ambang tahun baharu, pada 31 Dis ini.

Malah Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri juga telah lama tidak menganjurkan sambutan tersebut.

"Kerajaan negeri telah lama tidak menganjurkan sambutan tahun baharu dan untuk kali ini pun, tiada sambutan tahun baharu yang dianjurkan kerajaan negeri.

"Saya tidak pasti jika ada pihak swasta yang akan menganjurkan (sambutan tahun baharu) secara kecil-kecilan, tetapi biasanya dalam skala kecil sahaja seperti diadakan di pasar raya dan sebagainya, namun itu saya serahkan kepada mereka untuk putuskan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sambutan Ambang Tahun Baharu yang dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Dis nanti, dibatalkan susulan keadaan banjir dan kesusahan dialami rakyat pada masa ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Chow berkata kerajaan negeri bersetuju untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu dalam masa terdekat, namun setakat ini bentuk dan nilai bantuan belum diputuskan.

"Kami telah bincang dalam Mesyuarat Exco Pulau Pinang pada Rabu. Secara prinsip kita bersetuju untuk menyalurkan bantuan tetapi belum tetapkan nilai dan bentuk bantuan.

"Saya dan pegawai kewangan negeri akan putuskan kesemua perkara tersebut dalam masa terdekat, sebelum bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir," katanya.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan Kerajaan Pusat menyalurkan bantuan segera sebanyak RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu yang dilanda banjir teruk.

Selain Kerajaan Pusat, kerajaan negeri seperti Kedah, bersetuju menyumbangkan bantuan kewangan bagi membantu Kelantan dan Terengganu yang dilanda bencana banjir ketika ini.

-- BERNAMA