Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen mendedahkan, kelemahan pengurusan kontrak menjadi punca beberapa isu berbangkit dalam projek perkhidmatan 1BestariNet oleh Kementerian Pendidikan.

Pada masa sama, PAC tidak boleh menerima alasan yang dikemukakan Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu ketidaksedaran mengenai pekeliling melibatkan Value Management Lab.

Antara isu berbangkit yang dikenal pasti PAC ialah berhubung kelewatan penyambungan internet dan tahap penggunaan Virtual Learning Environment (VLE) yang rendah.

"Penyambungan capaian internet ke 4,176 sekolah lewat disiapkan antara 12 ke 439 hari daripada tempoh sepatutnya iaitu 30 Mac 2013.

"Selain itu, tiada kelulusan lanjutan masa diberikan atau tiada denda lewat dikenakan kepada kontraktor oleh KPM," menurut laporan itu.

Jelas laporan lagi, penggunaan VLE pelajar hanya 0.17 peratus hingga 0.63 peratus, guru; 0.57 peratus hingga 4.69 peratus, dan ibu bapa; 0.01 peratus hingga 0.03 peratus.

Laporan setebal 46 muka surat yang dibentangkan di Parlimen hari ini itu juga memberikan empat syor bagi menangani masalah berkenaan.

PAC memutuskan supaya Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan audit susulan secara keseluruhan berhubung sama ada perkara-perkara yang dibangkitkan JAN dibuat ratifikasi kerana banyak perbelanjaan kerajaan meragukan.

JAN juga digesa melaksanakan kajian keberkesanan terhadap pelaksanaan projek 1BestariNet.

PAC pada masa sama, akan melakukan lawatan ke sekolah bandar dan luar bandar.

JAN turut diminta untuk meneliti semula dokumen perjanjian kontrak 1Bestari Net bagi memastikan kepentingan kerajaan dilindungi.

Ia adalah sebahagian daripada penemuan audit dalam pembentangan Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2013 siri 3 yang dibentangkan di Parlimen 10 November 2014.

Jawatankuasa PAC mengadakan prosiding untuk membincangkan isu berkenaan sebanyak tiga kali iaitu 17 Mac 2015, 8 April 2015 dan 16 Jun 2015.