Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mendengar pembentangan Laporan Akhir Ketua Audit Negara terhadap pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 24 dan 25 Feb ini.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin berkata, pihaknya juga telah selesai mendengar keterangan daripada bekas Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini.

Katanya, selepas pembentangan Laporan Akhir Ketua Audit Negara, PAC akan menimbang untuk memanggil lagi saksi jika wujud keperluan dan kewajaran dalam membantu menyiapkan Laporan PAC berhubung Pengurusan Kawalan Urus Tadbir 1MDB ke Parlimen.

"Keutamaan PAC ketika ini, adalah untuk mendengar pembentangan Ketua Audit Negara berhubung Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dan menyiapkan Laporan PAC bagi dibentangkan ke Parlimen secara telus dan adil.

"Untuk pengetahuan semua, ahli PAC terdiri daripada parti pembangkang iaitu PKR, DAP dan PAS sementara Barisan Nasional (BN) pula dianggotai oleh UMNO, MCA, Gerakan, PBB dan UPKO," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru katanya, masyarakat umum tidak perlu ragu, sebaliknya yakin terhadap ketelusan laporan yang akan dibentang ke Parlimen kelak.

BACA: PAC-1MDB: Mohd Bakke, Shahrol Azral beri keterangan, media dilarang buat liputan

BACA: 1MDB: Dua individu terakhir beri keterangan kepada PAC minggu hadapan

BACA: 1MDB: Tiada keperluan panggil Mohd Hazem dan Zeti beri keterangan - Pengerusi PAC

VIDEO: Tidak perlu serah siasatan 1MDB kepada Majlis Raja-Raja