Seramai 13 kanak-kanak berusia 9 hingga 15 tahun di sini ditahan kerana menunggang basikal lajak secara berbahaya berhampiran kawasan perumahan di Kajang.

Dalam kejadian pada jam 6 petang Ahad itu, polis mengambil tindakan menyita kesemua basikal lajak yang digunakan mereka selain memanggil penjaga kanak-kanak terbabit.

Aksi tunggangan berbahaya itu dikesan Jabatan Siasatan Penguatkuasa Trafik IPD Kajang ketika menjalankan Ops Khas Basikal Lajak.

Hasil intipan mendapati kanak-kanak terbabit menggunakan basikal yang diubah suai dan menunggang dalam keadaan bahaya di Jalan Saujana Impian.

Mereka juga meluncur laju menuruni bukit Jalan Impian Makmur hingga ke depan Sekolah Saujana Impian dengan beraksi ala Superman.

Kesemua penunggang basikal lajak yang tinggal di kawasan perumahan berdekatan itu ditahan dan dibawa ke Balai Trafik IPD Kajang untuk tindakan lanjut.