Padah menguji kelajuan, seorang lelaki tempatan maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh dua motosikal lain dalam kejadian di Jalan Sulaman berhampiran lampu isyarat Universiti Malaysia Sabah (UMS), tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.50 malam itu, mangsa Mohd Diman Fadillah Kamis, 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa cuba menguji kelajuan motosikal jenis Yamaha LC135 ditunggangnya dan membuat satu pusingan dari arah lampu isyarat berkenaan.

"Ketika tiba di Jalan UMS, mangsa tiba-tiba dirempuh dua motosikal lain di mana kedua-dua penunggangnya bertindak meninggalkan tempat kejadian dan belum membuat laporan polis.

"Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian anggota badan dan mayatnya sudah dibawa ke hospital berdekatan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan melulu sehingga menyebabkan kematian.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika memandu di beberapa laluan di Kota Kinabalu yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.

"Dalam kejadian ini, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspeketor Ngang Ak Kalimpot di talian 017-8083272," katanya.