KUALA LUMPUR: Menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia menentang Oman malam ini, seorang ahli Parlimen pembangkang menggesa agar Datuk Hans Isaac meletak jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Gesaan tersebut dibuat susulan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang didakwa rosak buat kali ketiga, kata Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Beliau turut mendakwa Hans, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal dalam menjalankan tugas beliau.

"Apa perjanjian perkhidmatan antara PSM dan Persatuan Bola Sepak Kebangsaan (FAM)?... Dan Hans Isaac gagal, senang cerita.

"Dia tidak sesuai untuk tugas itu dan dia tahu, dia adalah lantikan politik dan ada kaitan dengan PKR. Agak-agak menteri pun tak suka sebenarnya tetapi disebabkan Perdana Menteri orang PKR, jadi Han Isaac kena lah cari tempatnya," katanya dalam sidang media di Parlimen pada Selasa.

Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu menambah keadaan yang berlaku ketika ini melibatkan imej negara dan profesionalisme pengurusan aset stadium.

"... dan ini memberi kesan kepada pasukan, rakyat (dan) cukai negara. (Kejadian padang SNBJ rosak) ini kali ketiga. Bukan pertama kali (tetapi) kali ketiga. Cukuplah Hans Isaac. Kalau dia tahu malu, letak jawatan," katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam sidang media sama menyifatkan insiden permukaan padang SNBJ yang rosak sebagai amat memalukan negara kerana perlawanan pada malam ini bertaraf antarabangsa.

"Kita jadi tuan rumah, tetapi tiba-tiba tak dapat menyediakan keadaan padang yang bertaraf antarabangsa. Saya sebut dalam ucapan saya, perlawanan kita bertaraf antarabangsa tetapi padang kita bertaraf 'kampung'.

"Apa yang lebih malang lagi apabila didedahkan oleh jurulatih, (pasukan) Oman dan Malaysia tak dibenarkan buat latihan di atas padang rumput SNBJ. Biasanya sebelum kita (pemain) bermain satu-satu perlawanan, kita akan dibenarkan buat latihan di atas padang berkenaan untuk ambil 'mood'," katanya.

Pada 25 Mac media melaporkan, Ketua jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy dalam sidang media praperlawanan, menjelaskan bahawa pihaknya sudah sedia maklum mengenai keadaan padang Stadium Nasional yang kurang baik.