GEDONG: Sarawak mampu memenuhi 80 peratus daripada keperluan berasnya menerusi projek perintis penanaman padi benih hibrid, yang dijangka mula membuahkan hasil dalam tempoh di antara tiga dan lima tahun lagi.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kawasan penanaman padi hibrid itu telah dikenal pasti di Lubok Punggor di sini, Tanjung Bijat (Sri Aman), Spaoh (Betong) dan Tanjung Purun (Lundu), yang keseluruhannya merangkumi kawasan seluas 10,000 hektar.

"Kalau kita ada 10 ribu hektar dengan (padi) hibrid yang baru ini, kita dapat mengeluarkan 200,000 tan (beras) setahun dan dapat mencapai 80 peratus keperluan kita di Sarawak," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek penanaman padi itu di Kampung Lubok Punggor di sini, pada Jumaat.

Abang Johari berkata padi hibrid berkenaan dibangunkan oleh pakar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan menggunakan varieti benih padi dari Vietnam dan berupaya mengeluarkan hasil sehingga tiga kali ganda berbanding penanaman padi biasa.

Beliau berkata dua varieti padi hibrid itu, dihasilkan UPM dengan kerjasama sebuah syarikat swasta Global Farm Biotech Sdn Bhd.

Abang Johari berkata buat masa ini, keluaran beras tempatan Sarawak hanya dapat memenuhi 34 peratus permintaan beras di negeri itu dan statistik Padiberas Nasional Berhad (Bernas) pada tahun lepas menunjukkan, Sarawak mengeluarkan 83,000 metrik tan beras serta mengimport 145,468 metrik tan.

Beliau berkata inisiatif penanaman padi benih hibrid itu, akan turut diperluaskan ke kawasan lain di negeri ini.

"Kita berkehendakkan kerajaan Persekutuan membantu kita (dalam penyediaan infrastruktur) dan akhirnya pada 2030, mungkin kita menjadi kawasan jelapang padi Malaysia dan tidak menggunakan banyak kawasan tanah, kalau kita gunakan (penanaman padi) hibrid dan teknologi baru.

"Kita mungkin akan mempunyai lebihan beras... kalau kita menambah lagi dengan kawasan tanaman kita, mungkin kita boleh jadi pengeksport beras," katanya.

-- BERNAMA