SHAH ALAM: Kurang separuh daripada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas masih belum melakukan pendaftaran di Pangkalan Data Utama (PADU) biarpun tarikh tutup adalah pada 31 Mac ini.

Menerusi tinjauan Sinar Harian, orang ramai mengakui kurang jelas dan tidak diberikan pendedahan sepenuhnya mengenai keperluan untuk berbuat demikian.

Ejen takaful, Nurul Nadirah Rustam, 35, mengakui antara punca belum mengisi maklumat dalam sistem itu disebabkan rasa kurang yakin dengan keselamatan berkaitan data peribadi.

“Sekarang memang banyak sangat kes penipuan dan penggodam yang mahir mencuri maklumat, jadi bila ada kaedah pengumpulan data peribadi seperti ini, ia membuatkan orang tidak yakin nak daftar.

“Mungkin kerajaan perlu menerangkan dengan lebih terperinci mengenai langkah keselamatan yang diambil bagi menjamin perkara tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

Seorang peniaga, R Shanker, 29, berkata, dia belum mendaftar kerana tidak tahu langkah atau platform mana yang perlu digunakan.

“Saya tidak tahu mengenai PADU tapi beberapa orang kenalan saya pernah bercakap mengenai sistem ini. Cuma saya rasa belum ada keperluan untuk saya daftar sebab tak tahu apa manfaat dan tujuan ia dilaksanakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wafiq Dayana Ashar, 28, yang bekerja sebagai pereka berkata, dia tidak mendapat maklumat mengenai arahan kerajaan untuk mendaftarkan diri dalam sistem berkenaan.

“Saya memang tidak tahu kena daftar PADU, mungkin sebab sibuk kerja dan kurang membuka sosial media.

"Hebahan masih belum mencukupi, saya berpendapat kerajaan perlu mempergiatkan lagi promosi mengenai sistem ini untuk memastikan setiap lapisan masyarakat tahu mengenainya," tambah Wafiq.

Sementara itu, seorang usahawan, R Fernandaz, 25, berkata, rakyat Malaysia perlu cakna dengan perkembangan semasa agar tidak menyusahkan mana-mana pihak agar keadilan dapat diberikan kepada setiap lapisan masyarakat.

“Sekarang ini terlalu banyak penipuan dalam talian dan ia mungkin salah satu sebab mengapa tidak ramai berani mendedahkan data peribadi mereka melalui platform tersebut. Tetapi bagi saya, masyarakat kena ambil tahu mengenai inisiatif kerajaan supaya proses pengumpulan data diselesaikan segera.

“Ini sangat penting kerana kerajaan boleh membuat tapisan hanya yang layak sahaja mendapat bantuan. Saya rasa ramai yang memerlukan tak dapat faedah kerana yang kaya jadi lagi kaya dan miskin terus miskin.

"Situasi tersebut boleh berlarutan jika tiada perubahan dilakukan. Jadi, orang ramai dinasihatkan untuk mendaftar PADU supaya proses pemberian inisiatif kepada semua pihak dipermudahkan,” katanya.

Turut berkongsi pendapat, pentadbir jualan, Muhamad Hafiz Mohd Arif, 25, yang memaklumkan, kerajaan perlu memperkasakan lagi penyebaran maklumat mengenai PADU supaya rakyat mengetahui secara keseluruhan berkaitan objektif dan manfaat sistem tersebut.

Tambahnya, kerajaan boleh mempergiatkan program daftar PADU di setiap daerah atau negeri bagi membantu orang ramai di kawasan pedalaman dan warga emas yang mungkin mempunyai masalah. - Sinar Harian