Skip to main content

Hiburan

Selepas 26 tahun, Khadijah Ibrahim kembali dengan 'Ibu Doa'

KUALA LUMPUR, 6 Ogos -- Penyanyi legenda negara Datuk Khadijah Ibrahim (kiri) bergambar bersama Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Jasmine Raj Production Datin Seri Jasmine Raj pada majlis pelancaran single terbaharu beliau "Ibu Doa" baru-baru ini.  Lagu berkenaan diterbitkan Jasmine Raj Production dengan lirik dan susunan muzik oleh Baizura Tazri.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Penyanyi legenda negara Datuk Khadijah Ibrahim (kiri) bergambar bersama Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Jasmine Raj Production Datin Seri Jasmine Raj pada majlis pelancaran single terbaharu beliau "Ibu Doa" baru-baru ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Selepas 26 tahun tanpa sebarang rakaman baharu, legenda muzik tanah air Datuk Khadijah Ibrahim kembali untuk mengubat kerinduan peminat menerusi pelancaran single berjudul Ibu Doa.

Kemunculan semula penyanyi yang mesra disapa “Ibu” itu menandakan lembaran baharu buat artis berkenaan yang telah mewarnai industri muzik sejak era 1970-an, dengan 18 album dan lebih 180 lagu dihasilkan sepanjang kerjayanya.

Khadijah, 67, berkata karya ciptaan sepenuhnya oleh Baizura Tazri dan diterbitkan Jasmine Raj Production itu membawa mesej mendalam tentang keagungan kasih sayang, pengorbanan dan doa seorang ibu yang sentiasa mengiringi perjalanan hidup anak-anak.

“Baizura mengenali Ibu daripada kecil lagi, dia kawan baik kepada anak Ibu. Kadang-kadang, siang malam pagi petang di rumah saya, dia tahu Ibu bagaimana.

The first time dengar lagu ini, dia buat Ibu menangis. Sejak dari hari itu Ibu sudah tahu, I must record this song,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran lagu tersebut di sebuah hotel di sini semalam.

Pelantun lagu Doa Buat Kekasih dan Kupendam Sebuah Duka itu berkata Ibu Doa sarat dengan permainan emosi yang menyentuh jiwa pendengar, khususnya dalam menghargai pengorbanan seorang ibu.

“Setiap daripada kita lahir daripada kasih seorang ibu. Walau setinggi mana kita melangkah, doa ibu sentiasa menjadi pelindung dan kekuatan. Saya berharap lagu ini menjadi hadiah buat semua ibu serta mengingatkan kita agar sentiasa menghargai pengorbanan mereka selagi masih berpeluang,” katanya.

Sepanjang pembabitannya dalam arena seni suara, Khadijah meraih pelbagai pengiktirafan berprestij termasuk Anugerah Platinum yang mengukuhkan kedudukannya sebagai antara artis rakaman wanita paling berpengaruh di Malaysia.

Dalam pada itu, Khadijah mendedahkan pelancaran Ibu Doa sepatutnya dilakukan lebih awal, namun terpaksa ditangguhkan selepas beliau diserang demam denggi yang teruk sehingga menjejaskan kualiti vokalnya.

“Ibu sekarang memang boleh menyanyi, tetapi mudah sangat dijangkiti batuk dan selesema. Jadi, Ibu rasa belum pulih 100 peratus, tambah pula masalah vertigo yang masih ada,” katanya.

Demi memastikan hasil terbaik dapat dipersembahkan kepada peminat, beliau merancang untuk kembali ke studio dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi bagi memurnikan beberapa bahagian vokal sebelum lagu itu diedarkan secara rasmi.

“Tapi, sebenarnya yang paling penting itu penyampaian kita, mesti datang daripada jiwa,” katanya yang juga bakal merakamkan tiga lagi single solo dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Khadijah berkata beliau merancang untuk merakamkan empat lagu baharu dengan legenda rock tanah air, Datuk Ramli Sarip.

“Insya-Allah, selepas ini Ibu akan duduk berbincang dengan abang Ramli untuk hasilkan empat lagu baharu. Ini juga sebagai persiapan untuk segmen khas kami berdua bagi konsert di Sabah pada 6 Nov nanti,” katanya.

Beliau dan Ramli dijadualkan menjayakan segmen duet khas menerusi Konsert Legends Karyawan yang bakal berlangsung di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah pada November ini.

Single Ibu Doa dijangka dilancarkan di semua platform penstriman digital utama dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement