Skip to main content

Malaysia

FMBA sambut baik arahan PM percepat kelulusan pekerja asing sektor restoran

51547270808_RESTORAN.jpg
FMBA berkata arahan yang diumumkan Perdana Menteri itu memberi kelegaan kepada ribuan pengusaha restoran yang berdepan kekurangan tenaga kerja sejak beberapa bulan lalu - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) menyambut baik arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua permohonan penggajian pekerja asing yang tertunggak, khususnya bagi sektor restoran, diselesaikan dalam tempoh sebulan.

FMBA berkata, arahan yang diumumkan Anwar ketika melancarkan Indian Muslim Transformational Framework (IMTF) 2030 di Butterworth itu memberi kelegaan kepada ribuan pengusaha restoran yang berdepan kekurangan tenaga kerja sejak beberapa bulan lalu.

"Respons pantas Perdana Menteri menunjukkan pentadbiran ini benar-benar mendengar suara industri di peringkat akar umbi dan menterjemahkan kebimbangan yang dibangkitkan kepada tindakan konkrit dalam tempoh yang jelas," menurut FMBA dalam satu kenyataan.

FMBA berkata, kelewatan kelulusan permohonan pekerja asing telah menjejaskan kesinambungan operasi restoran, kualiti perkhidmatan serta mata pencarian pekerja tempatan yang bergantung kepada ekosistem tenaga kerja yang mencukupi.

Anwar sebelum ini mengarahkan kementerian dan agensi berkaitan memberi keutamaan kepada penyelesaian permohonan pekerja asing bagi sektor restoran bermula minggu ini, sambil menegaskan pengambilan pekerja asing perlu dilaksanakan secara terkawal dan mampan.

FMBA menyifatkan pendekatan itu selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan serta kemampanan, selain berjaya mengimbangi keperluan mendesak industri dengan kepentingan jangka panjang negara.

"Dengan menetapkan tempoh masa yang jelas sambil mengingatkan supaya tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing tidak mahir, kerajaan telah mencapai keseimbangan antara membantu perniagaan yang terjejas dan menjaga kepentingan negara dalam jangka panjang," tambahnya.

Persatuan itu berkata industri makanan dan minuman (F&B) merupakan antara penyumbang utama kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), namun kekurangan tenaga kerja yang berpanjangan memberi tekanan besar kepada pengusaha, terutama restoran mamak serta premis makanan kejiranan.

FMBA percaya langkah mempercepatkan kelulusan pekerja asing mampu memulihkan kestabilan operasi perniagaan, melindungi peluang pekerjaan serta meningkatkan keyakinan pengusaha dan pelabur terhadap prospek industri pada separuh kedua tahun ini.

Dalam perkembangan sama, FMBA menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan The Universal Recruitment Advanced Platform (TURAP) kerana bimbang langkah itu akan meningkatkan kos operasi perniagaan yang kini berdepan kenaikan kos buruh, utiliti, pengangkutan dan pematuhan.

Tambah persatuan tersebut, peningkatan kos berkemungkinan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga makanan, barangan dan perkhidmatan, sekali gus menambah tekanan kos sara hidup.

Sehubungan itu, FMBA menggesa kerajaan mengadakan libat urus lanjut bersama pemain industri bagi mencari pendekatan yang lebih seimbang demi memastikan kelestarian perniagaan tanpa membebankan pengguna.

FMBA turut menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia serta agensi berkaitan bagi memastikan proses kelulusan pekerja asing dapat dilaksanakan secara lebih lancar, telus dan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Must Watch Video

Advertisement