ISTANBUL: Kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS) telah melengkapkan dan mengesahkan hampir AS$100 bilion bayaran balik tarif susulan pembatalan duti import kecemasan oleh mahkamah, menurut dokumen yang difailkan pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Langkah itu menandakan perkembangan penting dalam proses pembatalan kira-kira AS$166 bilion tarif yang dikutip menerusi dasar perdagangan "hari pembebasan" Presiden Donald Trump, selepas Mahkamah Agung pada akhir Februari memutuskan bahawa Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa tidak memberi kuasa untuk mengenakan duti berkenaan.
Pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP), Brandon Lord, memaklumkan Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS bahawa agensi itu telah menyerahkan bayaran balik yang disahkan kepada Jabatan Perbendaharaan untuk diagihkan.
Jumlah itu mewakili kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan duti yang dikutip di bawah akta kecemasan itu pada 2025 sebelum seorang hakim persekutuan mengarahkan kerajaan memulangkan wang berkenaan kepada pengimport.
CBP menubuhkan sistem pemprosesan khas yang dikenali sebagai CAPE pada akhir April bagi menguruskan proses bayaran balik berskala besar itu.
Data sehingga 31 Julai menunjukkan pengimport dan ejen kastam telah mengemukakan 252,496 pengisytiharan bayaran balik yang melibatkan lebih 25 juta rekod import.
CBP telah menerima hampir AS$128.7 bilion tuntutan bayaran balik yang berpotensi dan telah disahkan untuk diproses, dengan kira-kira AS$100 bilion kini diluluskan untuk pembayaran.
Operasi bayaran balik itu masih belum selesai. Secara keseluruhan, lebih 330,000 pengimport telah membayar tarif yang kemudian dibatalkan itu bagi lebih 53 juta transaksi import.
Maklumat terkini itu dikemukakan berhubung saman yang difailkan oleh syarikat pengimport berpangkalan di California, Freestyle World.
Syarikat itu memohon status tindakan kelas bagi mewakili perniagaan kecil yang mendakwa mereka berdepan kesukaran untuk mendapatkan bayaran balik masing-masing.
-- BERNAMA-ANADOLU